Keputusan YDP Agong jadi panduan – Presiden PAS

KUALA LUMPUR: Kenyataan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) perkenan untuk melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 cukup untuk dijadikan panduan.

Advertisement

Menurut Presiden PAS, Dato’ Tuan Guru Abdul Hadi Awang, YDPA, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menggunakan kuasa mutlak baginda yang ada mengikut Perkara 40 (2) Perlembagaan Persekutuan untuk melantik seorang Perdana Menteri.

Katanya, adalah perkara biasa sekiranya berlaku ketidakpuasan hati didalam sistem demokrasi dan mustahil untuk mendapat sokongan penuh 100 peratus.

“Cukup dengan kenyataan daripada Yang di-Pertuan Agong, menggunakan kuasa yang ada mengikut Perlembagaan.

“Dalam demokrasi biasalah (kalau) ada yang tidak puas hati, tak boleh dapat sokongan 100 peratus seluruh dunia.

“Yang penting ialah setelah mendapat pandangan yang dilihat oleh baginda, merupakan pandangan yang terbanyak, yang terbaik, untuk negara dan rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai situasi politik semasa selepas YDPA membuat keputusan memperkenan melantik Perdana Menteri Malaysia ke-8.

Setelah Istana Negara mengeluarkan keputusan tersebut, terdapat beberapa pihak yang cuba untuk mempersoalkan keputusan itu secara halus termasuk mengadakan himpunan di Dataran Merdeka yang memepersoalkan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin. – HARAKAHDAILY 1/3/2020