TERKINI | Laporan khas dari Istana Negara, 1 Mac

KUALA LUMPUR: Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Perdana Menteri Malaysia Kelapan bakal berlangsung di Istana Negara, di sini jam 10:30 pagi sebentar nanti.

Advertisement

Ianya susulan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memperkenan melantik Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke jawatan tersebut petang semalam.

Terdahulu, Baginda telah melaksanakan proses temu bual semua Ahli Dewan Rakyat sejak Selasa lepas bagi mengumpul sokongan pencalonan, bagaimanapun tiada mana-mana calon yang mendapat undi majoriti.

Sehubungan itu, Baginda telah mengadakan Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja Melayu, kelmarin sebelum bertemu ketua-ketua parti politik dan Ahli Dewan Rakyat bebas, semalam yang memuktamadkan keputusan tersebut.

Berdasarkan maklumat pelbagai, Tan Sri Muhyiddin dilihat memperoleh majoriti hasil sokongan daripada BERSATU, Umno, PAS, sebahagian PKR, GPS, WARISAN, PBRS, STAR dan Ahli Dewan Rakyat bebas.

Di kem Pakatan Harapan pula awal malam tadi terus mendakwa sedang mengumpulkan sokongan yang diuar-uarkan memiliki 114 Ahli Dewan Rakyat dan dilihat bertindak menderhaka terhadap keputusan Istana Negara.

Bagaimanapun, sikap mereka itu dibidas beberapa pakar Perlembagaan Persekutuan yang memperakui keabsahan tindakan YDPA menerusi proses telah dilakukan Baginda di mana mesti dihormati dan tidak dicabar.

Bahkan menjadi tamparan terhadap usaha mewujudkan kembali Kerajaan PH 2.0 dilihat semakin celaru dan menuju kegagalan apabila terdapat kalangan penama terbabit menafikan bersama menyokong mereka.

Ikuti laporan khas lintas langsung majlis bersejarah yang akan dibawakan bermula jam 9:00 pagi ini. – HARAKAHDAILY 1/3/2020

● ○ ● ○ ● ○ ● ○ ● ○ ● ○ ● ○ ●

LINTAS LANGSUNG

02:20 petang – Pakatan Harapan khususnya Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dilihat terus ghairah memanjangkan dakwaan bahawa mereka memiliki jumlah angka sokongan majoriti. Malah, telah menegaskan mahu membuat Usul Undi Tidak Percaya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri ke-8 sempena Sidang Dewan Rakyat pada 9 Mac nanti. Pun begitu, mereka terpukul oleh bayangan diberi Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof bahawa Sidang Dewan Rakyat mungkin ditangguhkan ke satu tarikh baharu.

01:25 petang – Kecaman Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin paling banyak mengkhianatinya ditepis oleh Penganalisis Politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff yang juga Pensyarah Universiti Utara Malaysia. Beliau mengemukakan semula pelbagai fakta untuk mengingatkan Tun terhadap kata-kata pernah dilontarkan bekas Perdana Menteri itu, selain perakuannya terhadap kelayakan Muhyiddin untuk dilantik PM.

12:50 tengahari – Pemerhatian di media sosial mendapati terdapat segelintir pengguna yang dipercayai penyokong Pakatan Harapan (PH) bersikap biadab dan celupar terhadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA) termasuk berunsur ancaman terhadap Perdana Menteri (PM). Perkembangan ini dilihat lantaran terpengaruh oleh tindakan pemimpin PH yang tidak hormat dan seperti mencabar keputusan YDPA dalam memuktamadkan pelantikan PM.

Ketika sama terdapat pihak yang memperkenalkan mereka sebagai Jawatankuasa Demonstrasi Selamatkan Malaysia merancang himpunan protes di hadapan SOGO petang ini, namun Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Mohd Fahmi Visuvanthan memberi amaran agar tidak menghadiri perhimpunan yang dirancang itu.

12:07 tengahari – Perdana Menteri Malaysia ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah bergerak keluar dari Istana Negara usai majlis angkat sumpah dan serah Suratcara Pelantikan sebentar tadi. Kereta yang membawanya menuju keluar Pintu 1 Istana Negara dengan diiringi rombongan ketua-ketua parti yang bersama menyokongnya. Beliau akan pulang ke rumahnya di Bukit Damansara dan dijangka akan bersama penyokong sebentar lagi. Sementara itu pada jam 5:30 petang ini, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan mengadakan sidang media khas. Dijangka wartawan dan petugas media akan membanjiri sidang media di Jalan Raja Laut itu. Ini kali kedua PAS membentuk Kerajaan Persekutuan bersama, di mana sebelum ini bersama dalam kerajaan Almarhum Tun Abdul Razak.

PROFAIL Tan Sri Muhyiddin Yassin
Isteri: Puan Sri Noorainee Abdul Rahman
Anak: 4 orang
Tarikh Lahir: 15 Mei 1947
Tempat lahir: Muar, Johor Ahli Parlimen Pagoh, Johor sejak 1978

• 1970 – Memulakan kerjaya sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Johor Darul Ta’zim (Bahagian Latihan dan Biasiswa)
• 1971 – Dilantik Bendahari Umno Muar-Pagoh
• 1974 – Ketua Pemuda Umno Pagoh/ Setiausaha Pemuda Umno Johor
• 1978 – Ahli Parlimen Pagoh
• 1982 -Timbalan Ketua Umno Bahagian Pagoh
• 1986 – Menteri Besar Johor ke-13
• 1985 – Ahli Majlis Tertinggi Umno
• 1993 – Menang Naib Presiden Umno
• 1996 – Gagal pertahankan jawatan Naib Presiden Umno
• 4 Mei 1995 – 14 Disember 1999 – Menteri Belia dan Sukan
• 2000 – Menang semula pemilihan Naib Presiden Umno, undian ketiga tertinggi.
• 15 Disember 1999 – 26 Mac 2004 – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
• 27 Mac 2004 – 18 Mac 2008 – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani
• 19 Mac 2008 – 9 April 2009 – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
• 26 Mac 2009 – 26 Februari 2016 – Timbalan Presiden UMNO
• 26 Mac 2009 – 26 Februari 2016 – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional
• 10 April 2009 – 11 Ogos 2013 – Menteri Pelajaran
• 2009 – Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional
• 10 April 2009 – Dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri
• 2016 – Digantung jawatan Timbalan Presiden Umno berikutan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
• Jun 2016 – Dipecat sebagai Timbalan Presiden Umno.
• September 2016 – Menjadi antara pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan dilantik sebagai Presiden.
• 13 Julai 2017 – Dilantik sebagai Timbalan Presiden dalam struktur baharu Majlis Presiden Pakatan Harapan.
• 22 Ogos 2017 – Dilantik Pengerusi Pakatan Harapan Johor
• 2018 – Dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri
• 29 Februari 2020 – Diumumkan sebagai Perdana Menteri kelapan

11:09 pagi – Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad membidas sikap derhaka PH terhadap keputusan YDPA memperkenan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8. Katanya, kebijaksanaan Tuanku menangani pergolakan dan krisis politik itu telah dicabar PH yang konon mendapat suara majoriti Ahli Parlimen. Beliau juga menempelak perebutan jawatan yang menyaksikan tindakan ‘u-turn’ dan ‘flip flop’ pemimpin PH.

10:50 pagi – Timbalan Presiden PAS, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man menyeru orang ramai untuk turut bermunajat agar negara sentiasa tenteram dan damai serta mengajak untuk terus bersabar, selain menyatakan kesyukuran atas upacara angkat sumpah Perdana Menteri ke-8 hari ini. Beliau bersama ramai pimpinan dan ahli PAS mengadakan solat hajat khas di Masjid Wilayah Persekutuan sebentar tadi yang turut dihadiri Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad serta Ketua Ulamak PAS Pusat, Dr Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin serta Bendahari PAS Pusat, Dato’ Iskandar Abdul Samad dan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato’ Ahmad Maslan serta Ahli-ahli Parlimen dan ADUN PAS.

10:33 pagi – Tan Sri Muhyiddin Yassin secara rasminya sah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 setelah mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Perdana Menteri. Majlis disaksikan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat yang bersama beliau serta Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof serta para Pegawai Tinggi Kerajaan yang lain.

10.00 pagi – Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man baharu sahaja keluar dari Masjid Wilayah selepas menunaikan solat sunat hajat di sini sebentar tadi.

09:58 pagi – Kenderaan dinaiki Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama rombongannya telah masuk ke Istana Negara dengan diiringi pengawal sebentar tadi dan turut melalui pintu yang sama adalah Panglima Angkatan Tentera Malaysia yang masuk selang beberapa minit selepas itu.

09:40 pagi – Ahli-ahli Dewan Rakyat yang bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang bersiap sedia bergerak ke Istana Negara bagi majlis angkat sumpah bakal berlangsung sebentar lagi dari kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara dengan diiringi bacaan doa oleh Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang juga Presiden PAS. Hadir sama Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan beberapa pimpinan utama BERSATU serta Umno.

09:35 pagi – Sebuah kereta rasmi kerajaan diiringi motosikal Polis menjadi menjadi kenderaan pertama masuk ke pekarangan Istana Negara. Ketika sama dimaklumkan bahawa permintaan pihak Pakatan Harapan untuk mengadap pagi ini tidak kesampaian dan majlis angkat sumpah Perdana Menteri ke-8 akan berlangsung sebagaimana dijadualkan.

09:00 pagi – Wartawan serta jurufoto telah memenuhi perkarangan Istana Negara bagi menantikan ketibaan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dijangka akan mengangkat sumpah pada jam 10:30 pagi ini. Para media dan wartawan terdiri dari dalam serta luar negara sebenarnya sejak semalam telah berkampung di di sini dan beberapa lokasi lain berikutan konflik pembentukan kerajaan baharu. Isu ini bagaimanapun akhirnya selesai pada jam 4:30 petang semalam dengan pengumuman pihak Istana Negara mengenai perkenan YDPA melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-8.