PUM syukur YDPA lantik PM

PERSATUAN Ulama’ Malaysia (PUM) ingin menzahirkan kesyukuran kepada Allah S.W.T selepas Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) mengambil keputusan melantik YAB Tan Sri Muhyiddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-8.

PUM menghargai kesabaran dan kebijaksanaan YDPA yang telah mengambil langkah bertemu secara individu dengan setiap Ahli Parlimen untuk mendengar sendiri pandangan mereka mengenai calon Perdana Menteri yang baharu setelah Tun Dr Mahathir meletak jawatan.

Sehubungan itu PUM mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada YAB Tan Sri Muhyiddin Md Yasin di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia. Semoga dengan pelantikan ini akan dapat melancarkan lagi perjalanan pentadbiran negara kita yang tercinta.

Advertisement

Sebagai langkah ke hadapan, PUM ingin menasihatkan seluruh rakyat Malaysia agar menghormati serta mentaati keputusan yang telah dititahkan oleh YDPA.

Dalam masa yang sama, PUM mengharapkan agar Perdana Menteri ke-8 dapat mengambil pendekatan berhemah dan terbaik bagi menyatukan seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama memberi fokus kepada pembangunan negara. Keutamaan penyatuan ini perlu diberikan perhatian segera terutamanya di Semenanjung juga di Sabah dan Sarawak.

PUM percaya bahawa Perdana Menteri yang baharu dilantik ini perlu diberikan ruang secukupnya untuk mencorakkan pentadbiran negara. Segala dasar dan perkara yang baik, perlulah disokong bersama, manakala apa-apa perkara yang bersalahan dengan norma kehidupan rakyat Malaysia, maka hendaklah diberikan teguran ke arah kebaikan rakyat dan negara.

Dalam kesempatan ini juga, PUM turut menyampaikan ucapan penghargaan kepada Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad dan YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang telah menjalankan tugas dengan baik sepanjang tempoh memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang lepas.

Semoga Malaysia terus berada dalam keadaan aman dan harmoni.

Yang benar,

DATO’ AL-SYEIKH ABDUL HALIM ABDUL KADIR
Yang Dipertua PUM – HARAKAHDAILY 1/3/2020