Tahniah Tan Sri Muhyiddin – MB Terengganu

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, merakamkan ucapan tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin berikutan pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8.

Advertisement

Katanya, Tan Sri Muhyiddin telah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi pelantikan jawatan tersebut.

“Tahniah kepada Tan Sri Haji Muhyiddin Yassin yang baru sahaja dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-8, setelah mendapat perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agung Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah,” ujarnya kepada Harakah.

Pelantikan Tan Sri Muhyiddin itu berikutan dari peletakan jawatan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir pada 24 Februari lalu, yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.

Setelah masuk hari keenam kemelut politik melanda negara, akhirnya pada jam 4.30 petang semalam, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Sehubungan itu, pelantikan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan dan majlis angkat sumpah akan diadakan di Istana Negara pada pukul 10.30 pagi ini (1 Mac). – HARAKAHDAILY 1/3/2020