Utama selamatkan negara, bukan jawatan Kabinet

KUALA LUMPUR: Keutamaan PAS ketika ini adalah memastikan negara diselamatkan terlebih dahulu setelah melalui kemelut dan krisis politik berbanding percaturan untuk menduduki Kabinet.

Advertisement

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan demikian pada sidang media khas yang telah dilangsungkan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini sebentar tadi.

Malah, menjawab pertikaian bahawa PAS kini bersama pemimpin Umno yang terlibat skandal dan masih dalam perbicaraan, beliau berkata tuduhan ke atas pemimpin terpalit itu belum berhenti melalui proses mahkamah.

Bahkan ujarnya, tuduhan sama juga ada terpalit kepada pemimpin PH dan menjawab mengenai ura-ura Usul Undi Tidak Percaya, beliau menyatakan betapa hal itu masih berupa andaian.

“Itu satu andaian, satu andaian yang kita tak terima. Kita berpegang kepada prinsip yang kita pegang pada hari ini ialah memberi kepercayaan (kepada Perdana Menteri).

“Tak ada ‘akan’ (menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin), tak ada ‘akan’. ‘Akan’ itu benda andaian. Saya tak boleh jawab soalan andaian. Saya tak tahu nak mati bila, nak hidup bila,” ujarnya yang terdahulu menegaskan PAS mendukung penuh Perdana Menteri kelapan itu.

Sebelum itu Ahli Parlimen Marang ini juga menyifatkan bahawa keputusan Yang di-Pertuan Agong telah memecahkan segala keraguan berkaitan yang ditimbulkan sepanjang tempoh kemelut politik negara kebelakangan ini.

Jelasnya, Baginda telah mendapat pandangan Wakil-wakil Rakyat dipilih oleh rakyat secara demokrasi berparlimen dan mengambil kira jumlah parti politik yang mendukung Perdana Menteri di mana itu sudah cukup menghilangkan keraguan berkaitan.

“Cukup dengan kenyataan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Dipertuan Agong. Merupakan kuasa yang ada mengikut Perlembagaan. Dalam demokrasi, biasalah ada yang tak puas hati. Tak ada yang dapat sokongan 100 peratus seluruh dunia.

“Yang penting ialah, setelah mendapat pandangan yang dilihat oleh Baginda, merupakan pandangan yang terbanyak, yang terbaik, untuk negara dan rakyat. Itu yang dipilih,” ujarnya.

Ditanya mengenai langkah dan pendekatan seterusnya PAS dari Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), jawabnya bahawa prinsip itulah menghasilkan keadaan ketika ini serta perpaduan yang wujud dari perbezaan ideologi, kaum dan agama yang ada. – HARAKAHDAILY 1/3/2020