Cabaran: Generasi baru dan Long War

REALITI hari ini

(1) Hari ini kita mendapat berita pelantikan Perdana Menteri ke-8. Apa yang terjadi pada esok hari, atau minggu depan tiada siapa yang dapat tahu.

Kita perlu faham bahawa kepimpinan itu bukanlah satu rebutan, akan tetapi ia adalah erti penyesalan di akhirat.

Nabi S.A.W berpesan;

Advertisement

إنكم ستحرصون على الإمارة وستكون ندامة يوم القيامة فنعم المرضعة وبئست الفاطمة

“Sesungguhnya kamu akan rakus terhadap kekuasaan, padahal ia akan menjadi penyesalan di hari kiamat. Maka alangkah baiknya penyusu (penguasa di dunia) dan alangkah teruknya pemutus susu (kematian).”

(Shahih Bukhari)

Jadikanlah jawatan itu sebagai ruang dan peluang untuk melaksanakan Islam, selaras dengan konsep;

إقامة الدين وسياسة الدنيا به

“Menegakkan agama, dan memerintah dunia dengannya.”

Cabaran yang bakal dihadapi lebih besar. Apa yang dikritik ketika di alam pembangkang semuanya terpundak di bahu sendiri untuk dilaksanakan.

Benarlah sepertimana firman Allah S.W.T;

وَتِلۡكَ ٱلۡأَیَّامُ نُدَاوِلُهَا بَیۡنَ ٱلنَّاسِ

“… Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) ….”

(Ali-Imran: 140)

Menggambarkan bahawa Allah S.W.T berkuasa untuk memutar peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan

Cabaran masa depan

(1) Cabaran yang bakal dihadapi oleh Umat Islam ialah serangan media yang gila untuk menyuarakan idea dan bersuara. Hal ini kita boleh fahami melalui rentak Liberalism.

(a) Mereka akan memvokalkan suara kebebasan untuk mempertikai itu dan ini. Cuba menggambarkan mereka itu sedang ditindas. Mereka akan memasarkan isu-isu hak asasi manusia.

(b) Mereka akan memanggil-manggil masyarakat untuk turun di jalanan, menimbulkan provokasi, dan menggambarkan suasana huru-hara.

(c) Mereka akan mencabar dialog-dialog dalam bentuk critical thinking di gelanggang terbuka. Membincangkan ideologi dan pemikiran yang boleh dijangka melalui kajian semasa.

(2) Hal ini boleh diteliti melalui banyak kajian dan fenomena antarabangsa yang pernah saya tulis dalam banyak artikel sebelum-sebelum ini.

(a) Antaranya fenomena Emansipasi yang cuba menggambarkan penindasan terhadap kaum wanita. Mereka akan menjana lebih banyak isu-isu kewanitaan dan hak kesamarataan.

(b) Anak-anak muda yang gelojoh akan dibakar dengan budaya Hedonism dan enggan terikat dengan mana-mana akta atau enakmen. Menyebabkan kerajaan baru akan ditekan dengan isu sosial.

(c) Bahkan isu keagamaan juga akan dibakar sebagai modal untuk mewujudkan mendakwa agama itu dan ini tertindas. Tokoh-tokoh Liberal akan ditayang sebagai aspirasi.

Long War [1]

(1) Umat Islam juga bakal berhadapan dengan isu perselisihan mazhab, atau bahasa lainnya ialah sektarian. Sama ada Salaf vs Khalaf atau sewaktu dengannya.

(2) Frame ini telah dilakar sifirnya dalam kajian RAND Corporation yang diterbitkan pada 2008 yang bertajuk Unfolding The Future Of The Long War, setebal 230 halaman. [2]

Antara yang disebutkan mengenai konsep Divide and Rule;

“Divide and Rule focuses on exploiting fault lines between the various Salafi-jihadist groups to turn them against each other and dissipate their energy on internal conflicts.”

“This strategy relies heavily on covert action, information operations (IO), unconventional warfare, and support to indigenous security forces.”

“Divide and Rule would be the obvious strategy choice for the ‘Narrowing of Threat’ trajectory as the United States and its local allies could use the nationalist jihadists to launch proxy IO campaigns to discredit the transnational jihadists in the eyes of the local populace.”

“In the ‘Holding Action’ trajectory, Divide and Rule would be an inexpensive way of buying time for the United States and its allies until the United States can return its full attention to the long war.”

“U.S. leaders could also choose to capitalize on the ‘Sustained Shia-Sunni Conflict’ trajectory by taking the side of the conservative Sunni regimes against Shiite empowerment movements in the Muslim
world.”

Isu khilafiah vs dialog ideologi

(1) Justeru, hal-hal seperti ini perlu diperhatikan. Bimbang ia menjadi modal untuk merangsang perpecahan umat Islam, supaya mereka boleh kuasai.

Apa yang harus kita bekalkan? Kita sebagai ahli gerakan Islam perlu mengkaji dan mendalami perbincangan mengenai ideologi, supaya dengan pengkajian ini kita mampu men‘trace’ strategi musuh.

(2) Mereka sangat memberi fokus kepada golongan anak muda. Mengajar anak-anak muda supaya bercakap tanpa had. Seolah-olah apa sahaja berhak diulas oleh mereka.

Dalam keadaan dalaman umat Islam sendiri yang masih bertikam lidah dalam isu Sifat 20 atau Tauhid Tiga, qunut, zikir lepas solat, bilangan rakaat tarawih, amalan Nisfu Sya’ban dan banyak lagi.

(3) Bimbang isu khilafiah ini menjadi barah dan menghilangkan fokus umat Islam. Manakala anak muda di luar sana giat mengembangkan potensi dialog dan daya fikir mereka.

Sesama orang mengaji kitab boleh berbahas sampai malam, tetapi apabila berhadapan dengan anak muda yang berotak falsafah Barat, bimbang kita tak mampu berhujah.

(4) Persiapkan diri dengan mengkaji ideologi mereka. Kajilah hujah-hujah para Nabi terdahulu yang berhadapan dengan golongan Atheism, Monotheism, Materialism, Hedonism dan bermacam-macam lagi.

Para Nabi A.S berhadapan dengan mereka, berbekalkan hujah-hujah yang diwahyukan oleh Allah S.W.T dan terpahat di dalam al-Quran. Maka, jadikan kajian ini sebagai keutamaan.

Cabaran semasa

(1) Apa yang bakal kita hadapi di Malaysia? Kerajaan baru seolah-olah diberi tempoh yang pendek untuk menyelesaikan segala permasalahan negara.

Hutang negara yang meningkat. Pada zaman PH sahaja, pada bulan Disember 2019 hutang negara sudah mencecah RM800 bilion [2] berbanding RM686.8 bilion pada zaman sebelumnya.

(2) Pastinya rakyat menantikan apa-apa yang pernah dijanjikan sebelum ini kerana masing-masing sudah serik bagaimana tertipunya mereka dengan Manifesto PH.

Dalam masa yang terbatas (sehingga PRU15), masing-masing seolah-olah tak sabar nak lihat “Apa itu Islam yang diperjuangkan sangat oleh PAS?”.

(3) Cabaran demi cabaran ini memerlukan kepada ‘kepercayaan’. Dalam tempoh yang berbaki sebelum PRU15, mampukah kerajaan baru beraksi sebagai sebuah kerajaan yang diimpikan?

Jika diukur secara rasional, jika Umno jelas bawa Islam, maka apa perlunya kewujudan PAS lagi? Inilah soalan yang sentiasa ditanya sejak kewujudan Muafakat Nasional.

(4) Walaupun Tun Mahathir sudah tidak bergelar Perdana Menteri, manakala Anwar Ibrahim juga sudah bertukar ke pembangkang, namun kedua-duanya masih wujud di Parlimen.

(5) Abraham Lincoln pernah mengutarakan satu ungkapan yang agak logik;

“Nearly all men can stand adversity, but if you want to test a man’s character, give him power”

Hampir semua lelaki boleh tahan menghadapi masalah, tetapi jika anda mahu menguji watak lelaki, beri dia kuasa.

[1] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3159199914121747&id=100000953077134

[2] Sila pm untuk dapatkan pdf

[3] https://www.sinarharian.com.my/article/63145/BERITA/Nasional/PH-bohong-hutang-negara-bukan-turun-tapi-makin-naik-kata-Najib

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 2/3/2020