Mencari pejuang seperti anak muda di sisi Rasulullah

KUALA KEDAH: Himpunan Anak Muda Istiqamah (HIMMAH) antara matlamatnya adalah untuk mencari semula semangat dan personaliti anak muda sebagaimana watak para pemuda di zaman Rasulullah S.A.W.

Advertisement

Mantan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi berkata, sejarah menunjukkan bahawa Rasulullah melantik anak muda berusia 18 tahun untuk mengetuai angkatan perang menentang Rom.

“Semangat Usamah bin Zaid perlu menjadi contoh personaliti untuk setiap anak muda pendukung gerakan PAS dalam perjuangan menegakkan Islam. Semangat ini ada, tetapi telah lama hilang, bersembunyi akibat tiada perjuangan,” ujarnya menyeru anak muda bangkit.

Ucapan penuh semangat dengan mengingatkan agar diperjuangkan bersama prinsip Islam itu disuarakannya pada himpunan yang berlangsung di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini kelmarin.

Manakala Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Dr Riduan Mohamad Nor menyuntik motivasi dengan sejarah peranan anak muda di sekeliling Rasulullah yang ditugaskan misi menghadapi Rom.

Sedangkan Rom ujarnya, adalah kuasa besar dunia ketika itu dipimpin Heroculis atau Herocula yang juga adalah penaung agama Kristian, sekali gus anak muda tidak hanya membawa dakwah, tetapi ke medan tempur antara iman dan kufur.

Sementara ADUN Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi yang juga mantan Ketua Pemuda PAS Malaysia menyingkap betapa pentingnya tarbiyah ke atas pembentukan anak muda untuk mendukung perjuangan.

Apatah lagi menurutnya, pergolakan politik dalam negara cuba mengaitkan perjuangan PAS sebagai perkauman dan keinginan melantik kaum majoriti menjadi pemimpin, sedangkan hal tersebut adalah wajar dan normal. – HARAKAHDAILY 2/3/2020