Merendah diri disebalik anugerah kemenangan

DEWAN Ulamak PAS Perak mengucapkan tahniah dan takziah kepada Tan Sri Muhyidin Mohd Yasin di atas tanggungjawab yang dipertanggungjawabkan kepada beliau sebagai Perdana Menteri ke-8.

Advertisement

Ingatlah bahawa Nabi S.A.W pernah bersabda;

إنكم ستحرصون على الإمارة وستكون ندامة يوم القيامة فنعم المرضعة وبئست الفاطمة

“Sesungguhnya kamu akan rakus terhadap kekuasaan, padahal ia akan menjadi penyesalan di hari kiamat. Maka alangkah baiknya penyusu (penguasa di dunia) dan alangkah teruknya pemutus susu (kematian).”

(Shahih Bukhari)

Amanah yang di bahu itu akan dipersoalkan di akhirat. Maka Islam menuntut supaya melaksanakan agenda-agenda Islam dalam konteks bernegara, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mereka yang bakal dilantik untuk mengisi Kabinet dan jabatan, digesa supaya sentiasa bermuhasabah dan membersihkan hati daripada penyakit cintakan dunia حب الدنيا yang menjadi punca Islam itu ditindas.

Nabi S.A.W bersabda;

يوشك الأمم أن تداعى عليكم، كما تداعى الأكلة إلى قصعتها. فقال قائل: ومِن قلَّةٍ نحن يومئذ؟ قال: بل أنتم يومئذٍ كثير، ولكنكم غثاء كغثاء السَّيل، ولينزعنَّ الله مِن صدور عدوِّكم المهابة منكم، وليقذفنَّ الله في قلوبكم الوَهَن. فقال قائل: يا رسول الله، وما الوَهْن؟ قال: حبُّ الدُّنيا، وكراهية الموت

“Akan hampir seluruh manusia mengerumuni kamu sebagaimana mengerumuni makanan ke bekasnya. Maka seorang berkata: Dan adakah disebabkan jumlah kami pada waktu itu menjadi sedikit? Jawab Baginda: Bahkan jumlah kamu pada hari itu begitu ramai, tetapi kamu hanya seperti buih seumpama buih air banjir. Dan Allah akan cabut daripada sanubari musuh kamu perasaan gerun terhadap kehebatanmu, dan Allah akan mencampakkan penyakit wahan ke dalam hati kamu. Maka seorang berkata: Wahai Rasulullah! Apakah penyakit wahan itu? Lalu sabda Baginda: Cinta kepada dunia dan benci kepada kematian.”

(Riwayat Imam Abu Daud dan Imam Ahmad)

Dewan Ulamak PAS Perak menyeru kepada semua rakyat Malaysia, khususnya penyokong dan pendukung Muafakat Nasional agar bersikap tawaduk (rendah diri) dengan kemenangan yang diberikan.

Dewan Ulamak PAS Perak juga menyeru supaya didirikan Solat Sunat Tasbih atau bertasbih, dan beristighfar meminta ampun kepada Allah S.W.T terhadap dosa-dosa yang pernah dilakukan.

Selaras dengan firman Allah S.W.T;

بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِیمِ إِذَا جَاۤءَ نَصۡرُ ٱللَّهِ وَٱلۡفَتۡحُ ۝ وَرَأَیۡتَ ٱلنَّاسَ یَدۡخُلُونَ فِی دِینِ ٱللَّهِ أَفۡوَاجࣰا ۝ فَسَبِّحۡ بِحَمۡدِ رَبِّكَ وَٱسۡتَغۡفِرۡهُۚ إِنَّهُۥ كَانَ تَوَّابَۢا

“Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah), (1) Dan engkau melihat manusia masuk dalam ugama Allah beramai-ramai, (2) Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat. (3)”

Marilah kita meneladani Sirah Nabi Muhammad S.A.W apabila diberi kemenangan dengan Fathul Makkah (Pembukaan Makkah) Baginda S.A.W dan para Sahabat R.A menundukkan kepala.

Masing-masing berpegang bahawa Allah S.W.T yang memberi kemenangan tersebut, maka sepatutnya perlu menginsafi. Janganlah sombong, atau membesar diri seolah-olah kemenangan itu hasil perancangan sendiri.

(5) Jagalah adab-adab sebagai seorang Islam. Jauhkan menyindir (mentroll) musuh atau mentertawakan mereka. Elakkan mendabik dada bermegah dengan kemenangan.

Kemenangan bukan disambut dengan sorak dan megah kebanggaan, akan tetapi perlu diluruskan dengan disiplin dan rendah diri, serta menyerah diri kepada Allah S.W.T yang berkuasa terhadap mana-mana kuasa.

IBRAHIM ZAKARIA
Ketua
Dewan Ulamak PAS Perak – HARAKAHDAILY 2/3/2020