Sokong tangguh Sidang Dewan Rakyat

SAYA menyokong Sidang Dewan Rakyat ditangguhkan kepada tarikh yang difikirkan lebih sesuai memandangkan berlaku perubahan kerajaan pada 1 Mac 2020 yang lalu. Ia bertujuan untuk memberi ruang yang lebih selesa kepada YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membentuk kabinet dan menentukan hala tuju pentadbiran yang lebih baik berbanding sebelum ini. 

Advertisement

Desakan Pakatan Harapan (PH) yang menuntut sidang Dewan Rakyat disegerakan hanya bermotif politik semata-mata. Mereka masih tidak berpuas hati meskipun Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) telah membuat keputusan dengan bijaksana. Walhal, mereka sendiri juga telah bersetuju akan menerima dan menghormati apa sahaja keputusan YDPA sebelum ini. 

Justeru, tidak perlu layan karenah ‘politiking’ PH. Mereka telah menipu rakyat dan YDPA kerana didakwa menerima sokongan 114 ahli Parlimen. Saya harap semua pihak dapat menumpukan agenda yang lebih utama untuk membangun negara kerana rakyat mahukan perubahan lebih baik. Tindakan PH hanya ingin mencetuskan ketidakstabilan politik dan ekonomi negara.

Sekian, terima kasih.

AHMAD MARZUK SHAARY
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa 
7 Rejab 1441 | 2 Mac 2020 – HARAKAHDAILY 2/3/2020