Tanpa kualiti diri, musuh tak geruni Muslim

KUALA KEDAH: Umat tidak boleh merasa selesa kerana Islam sentiasa dilingkungi musuh-musuh yang tidak pernah lena daripada mahu menghancurkan Islam di muka bumi dan ia dapat disaksikan pada dunia hari ini.

Advertisement

“Bukti yang cukup jelas dapat dilihat melalui apa yang kita (rakyat) telah rasai melalui sedikit kuasa yang terlepas daripada pemerintahan Islam ke tangan DAP,” jelas Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin.

Peringatan besar itu dibentangkan beliau dihadapan ribuan peserta pada Himpunan Anak Muda Istiqamah (HIMMAH) yang dilangsungkan di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini kelmarin.

Terang beliau, kedudukan umat Islam yang semakin berani diganggu musuh, biarpun Islam merupakan golongan majoriti di seluruh negeri adalah kerana kehadiran umat Islam kini ibaratnya seperti buih di dalam lautan.

“Ia nampak membukit, tapi kualitinya tak seberapa. Ramai (yang) tak ada nilai, ramai (yang) tak ada mutu supaya boleh kita gunakan untuk menghadapi musuh-musuh Islam di dunia.

“Sudahlah orang Islam lemah, Tuhan (Allah) cabut rasa gerun musuh terhadap Islam. Dalam pada itu ditambah lagi dengan satu penyakit iaitu orang Islam diserang dengan penyakit kasih akan dunia dan bencikan kematian,” ujar beliau.

Bahkan lanjut jelasnya, matlamat kehidupan seorang Muslim hendaklah dilaksanakan seperti yang dikehendaki oleh agama Islam iaitu beramal untuk dilihat oleh Allah, disaksikan oleh Rasul dan seluruh orang orang Mukmin.

Terangnya, Allah memberi peluang nikmat hidup di atas muka bumi untuk masing-masing mempertontonkan persembahan kepada Allah, Rasul dan Mukmin di mana persembahan yang berjaya adalah semestinya yang telah memberi kepuasan kepada penonton.

“Kita bukan buat persembahan lawak jenaka, sukan dan sebagainya. Persembahan (kita) ini kepada Allah, Rasul dan orang Mukminin. Maka oleh itu, kita perlu pilih persembahan yang tepat dan betul,” tambahnya lagi.

Dalam ada itu, beliau turut menyatakan agar Himpunan Anak Muda Istiqamah 30k yang berlangsung di Kompleks PAS Kedah ini memberi sumbangan yang besar khususnya kepada medan politik dalam negara kita ini.

“Kita serah kepada Allah yang boleh kami persembahkan, yang boleh kami buat seperti yang diarahkan. Ini persembahan, maka bantulah kami,” ulas beliau mengakhiri ucapan kemuncak di himpunan bersejarah itu. – HARAKAHDAILY 2/3/2020