Democracy is a double edge sword

ITULAH kata-kata yang pernah meniti keluar daripada bibir seorang Ahli Parlimen yang saya dengari. Ada masa ia berpihak kepada kita dan ada masanya tidak. Bagi saya, rakyat perlu menerima perubahan tampuk kepimpinan negara dan perlu segera berhenti menghina dan menyalahkan orang lain. Sikap menghamburkan kata-kata kesat khususnya kepada DYMM Yang Di-Pertuan Agong mesti dihentikan dan perlu diambil tindakan berat. Ahli Dewan Rakyat yang kita telah undi sendiri secara majoritinya telah membuat pilihan bagi memilih ketua kerajaan Malaysia, iaitu Perdana Menteri apabila PM ke-7 memilih untuk meletakkan jawatan. Rakyat juga perlu menerima hakikat bahawa tongkang pakatan kerajaan lama yang mereka pilih telah pecah akibat perpecahan dalaman mereka sendiri hinggakan hilang nakhoda untuk mengemudi negara.

Saya pernah sahaja skeptikal terhadap keupayaan seorang pemimpin negara kerana faktor usianya tetapi saya beri peluang untuk melihat prestasi beliau dan saya perlu hormati pelantikan beliau atas dasar menghormati sistem perlembagaan dan suara majoriti yang diputuskan.

Inilah masa yang terbaik untuk kita kembali setia kepada tunjang ‘Kesetiaan kepada raja dan negara’ serta ‘Keluhuran Perlembagaan’ dalam Rukun Negara kita. Saya perlu hormati keputusan yang ada waima saya sukai atau tidak sukai kerana menjunjung tinggi prinsip kesetiaan dan kehormatan terhadap raja dan Perlembagaan Negara.

Advertisement

Donald Trump dibenci ramai walaupun telah diundi secara demokrasi. Undian Brexite tetap dikesali ramai walaupun telah dipilih secara demokrasi. Itulah pedang dua mata demokrasi. Majoriti tidak sentiasa menyebelahi kita. Kita tiada kuasa mendesak, tetapi kita punya kuasa suara untuk siri pilihan raya yang akan datang. Oleh itu, buat masa ini, berikan dahulu peluang kepada kepimpinan kerajaan baharu untuk memperlihatkan kredibiliti dan keupayaan mereka dalam memimpin negara serta mendepani isu-isu rakyat.

Sayangi Malaysia. Kekalkan keharmonian dengan menyerlahkan sikap matang kita.

NUR HIKMAH RAMLI
Timbalan Pengarah Ameerah Wilayah Persekutuan – HARAKAHDAILY 3/3/2020