Henti spekulasi calon MB Kedah

ALOR SETAR: Orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan penularan gambar-gambar ADUN Kedah kononnya dilantik sebagai Menteri Besar, disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya berkata, PAS mempunyai caranya sendiri untuk memilih pemimpin dalam parti dan kerajaan apatah lagi perkara yang melibatkan negara mahu pun negeri.

“PAS ada musyawarah dan perkara besar seumpama itu akan diputuskan di peringkat pusat bukannya ditular melalui media sebegitu,” ujarnya ketika dihubungi Harakah tatkala mendapatkan komen beliau berkenaannya.

Advertisement

Orang ramai dikejutkan dengan penularan ucapan tahniah kepada beberapa ADUN PAS Kedah kononnya telah dilantik sebagai Menteri Besar, antaranya, Muhammad Sanusi Mohd Noor, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman, Yusoff Zakaria dan Nasir Idris.

Justeru itu, orang ramai dinasihati agar menunggu sumber rasmi dari PAS dan tidk menyebar berita-berita palsu seperti itu.

Walaubagaimanapun sambungnya, dari sudut lain ia membuktikan PAS mempunyai ramai yang berkebolehan untuk menjawat jawatan penting itu.

“Namun harus diingat, jangan pula terperangkap dengan permainan pihak yang suka melihat berlaku perebutan dan pertembungan.

“Harap semua dapat bersabar, sampai masanya akan diumumkan,” nasihatnya.– HARAKAHDAILY 03/3/2020