PH buat rakyat jemu dengan politik – Annuar

KUALA LUMPUR: Hasrat Pakatan harapan (PH) untuk mengusulkan Undi Tidak Percaya di Dewan Rakyat akan membuatkan rakyat rasa jemu dengan politik.

Advertisement

Menurut Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa, ‘politiking’ tidak berkesudahan yang diamalkan di Malaysia sedikit-sebanyak akan membuatkan rakyat berasa jemu dengan gelagat ahli politik.

Katanya, pada ketika ini adalah lebih baik untuk wakil-wakil rakyat baik dari pihak kerajaan dan pembangkang meletakkan fokus kepada masalah yang dihadapi rakyat hari ini berbanding meletakkan kepentingan kepada agenda parti politik masing-masing.

“Kita ini dah lama dah ‘politiking’ dan tidak berkesudahan, dan saya fikir rakyat pun dah sedikit sebanyak akan jemu juga akan gelagat kita.

“Wakil-wakil rakyat ini kalau tak sudah-sudah duduk menimbulkan suasana yang mana kita tertingggal tugas sebenar kita sebagai Ahli-ahli Parlimen, dimana rakyat sedang menghadapi banyak masalah dan banyak harapan dari segi ekonomi, keselamatan, kesihatan dan sebagainya.

“Terimalah tanggungjawab ini sebagai wakil rakyat, dan rakyat berharap supaya kita bekerja untuk mereka dan bukan berpolitik sepanjang masa,” ujarnya.

Bagaimanapun, menurut Ahli Parlimen Ketereh itu, sesiapa sahaja mempunyai hak untuk mengusulkan apa-apa usul yang dimahukan termasuk Usul Undi Tidak Percaya.

Namun, beliau akhirnya berharap agar perkara tersebut tidak berlaku dan berpandangan bahawa ia hanya akan merugikan masa Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas selesai mempengerusikan perjumpaan dan rombongan daripada delegasi MCA di Ibu Pejabat Umno, disini, tengah hari tadi.

Rombongan itu dihadiri oleh Setiausaha Agung MCA, Dato’ Chong Sin Woon, dan beberapa pimpinan tinggi MCA seperti Nicole Wong Siaw Ting, Heng Sai Kei, Lim Tiang Soon, Leaw Kok Chan, Chan Quin Er, dan Lim Chin Hai. – HARAKAHDAILY 4/3/2020