Rakyat telah bekerjasama menumbangkan DAP

KUALA KANGSAR: Kerjasama dalam menumbangkan DAP dilihat telah menjadi matlamat yang turut didukung rakyat, manakala PAS pula langsung tidak memikirkan soal jawatan disebalik pembentukan kerajaan baharu.

Advertisement

Yang DiPertua PAS Kawasan Kuala Kangsar, Dato’ Drs Khalil Idham Lim Abdullah berkata, bahkan rakyat juga dilihat menerima untuk memberi keyakinan penuh kepada Yang di-Pertuan Agong menyelesaikan kemelut politik baru-baru ini.

Apatah lagi ujarnya, rakyat menyaksikan sendiri penipuan sepanjang tempoh tersebut apabila senarai Akuan Bersumpah (SD) didakwa pihak PH memiliki 114 majoriti, tetapi kemudian terserlah penafian seorang demi seorang.

“Ini jelas menunjukkan pihak PH hanya menokok tambah supaya SD tersebut dikatakan mendapat sokongan majoriti,” bidasnya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Muslimat PAS Kawasan Kuala Kangsar di Kompleks PAS Bukit Chandan, di sini baru-baru ini.

Bahkan menurutnya, rakyat terlebih dahulu resah dan kecewa dengan pemerintahan PH yang diliputi oleh kes-kes berat seperti kaitan dengan LTTE, pembunuhan Adib, penjualan aset Tabung Haji dan banyak lagi.

Malah di Perak bentangnya, berleluasa isu pemilikan tanah 999 tahun, penghinaan terhadap Rasulullah, Islam dan juga Raja-raja Melayu hingga dilihat kebangkitan itu berpengaruh atas kempen ‘Buy Muslim First’.

Hadir sama pada majlis itu adalah Ketua Pemuda PAS Kuala Kangsar, Ustaz Omar Adam dan Ketua Wanita Umno Bahagian Kuala Kangsar, Datin Rahayu Abd Rajak. – HARAKAHDAILY 4/3/2020