Bahana si batu api dalam parti BERSATU

KRISIS politik negara yang berlarutan selama seminggu sejak peletakan jawatan Perdana Menteri ke-7 Tun Dr. Mahathir alhamdulillah berjaya diselesaikan dengan aman apabila Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri ke-8 Malaysia setelah baginda yakin pihak Perikatan Nasional mempunyai sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen.

Segala prosedur dalam meneruskan sistem politik demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan telah diikuti selaras dengan peruntukkan Perlembagaan Negara serta kuasa Yang di-Pertuan Agong yang wajar dihormati semua lapisan masyarakat yang mengaku warga Malaysia.

Namun terdapat manusia-manusia yang tidak pernah puas berpolitik dan menangguk di air yang keruh. Mereka terus melancarkan tohmahan demi tohmahan, pelbagai teori konspirasi dan propaganda telah disasarkan kepada Presiden Parti BERSATU serta para pemimpin dan ahli-ahli parti ini yang bersamanya. Serangan ini bermula beberapa hari sebelum Tan Sri angkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-8 lagi.

Advertisement

Kami dituduh pengkhianat hanya kerana memilih untuk patuh kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam usaha menyelamatkan Parti BERSATU dari terus ditolak oleh orang Melayu-Islam sendiri kerana dianggap bersekongkol dengan DAP dan kelompok ultra Liberal yang berkeliaran dalam Pakatan Harapan (PH) selama ini.

Mereka menggunakan hujah kononnya kami khianat mandat rakyat, walhal mandat itu tidaklah statik jika mereka memahami perubahan sentimen rakyat terutama orang Melayu-Islam yang menjadi kelompok sasaran pengundi Parti BERSATU di mana kerusi-kerusi yang ditandingi BERSATU adalah di kawasan pinggir dan luar bandar, kawasan majoriti pengundi yang konservatif.

Golongan ‘Khawarij’ Melayu itu juga menularkan spekulasi kononnya kami yang menyokong perpaduan ummah melalui Kerajaan Perikatan Nasional ini menggadaikan prinsip perjuangan yang bertunjangkan anti rasuah apabila menerima kerjasama dengan parti Umno dan PAS. Walhal umum tahu bahawa korupsi tidak tertakluk kepada parti-parti politik tertentu sahaja, malah segala kes-kes berprofil tinggi masih terus berjalan di mahkamah hingga kini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikenali saya adalah seorang yang berintegriti dan adil. Ketika mewakili parti dalam proses rundingan dengan Umno-PAS yang bermula sejak setahun lalu atas restu Pengerusi Parti BERSATU Tun Dr. Mahathir, beliau yang ketika itu selaku Menteri Dalam Negeri tidak pernah campur tangan dalam pendakwaan dan penyiasatan kes-kes korupsi yang melibatkan beberapa pemimpin dari parti-parti yang sedang dirunding.

Malah selaku Presiden Parti BERSATU yang sentiasa melaporkan keputusan Lembaga Disiplin parti terhadap kes-kes salah laku ahli parti dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin sentiasa berpendirian untuk tidak mengubah sebarang syor hukuman dari Lembaga Disiplin walaupun ketika itu Majlis Pimpinan Tertinggi mempunyai kuasa untuk menambah atau mengurangkan hukuman yang dicadangkan oleh Lembaga Disiplin. Ini contoh prinsip integriti dan keadilan yang dipegang erat oleh YAB Perdana Menteri kita sekarang.

Tetapi bagi golongan pentaksub pemimpin tertentu, ditambah pula beberapa kelompok yang sakit hati apabila mereka kehilangan jawatan serta tempat bernaung dalam politik peribadi mereka, Kerajaan Perikatan Nasional dan ahli-ahli Parti BERSATU yang menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dianggap musuh nombor satu untuk dijatuhkan walau apa cara sekalipun. Mereka tidak langsung cuba mendamaikan keadaan, malah bertindak bagaikan mencurah minyak ke dalam api yang membara.

Kini musuh-musuh parti dari luar dan musuh-musuh penyatuan ummah tersenyum lebar melihat Melayu sama Melayu bergaduh dalam satu parti yang menggunakan slogan Pribumi ini. Tidak perlu bersusah payah untuk pihak DAP, PKR atau NGO-NGO ultra Liberal meneruskan agenda mereka kerana seolah-olah mereka mempunyai ejen dari dalam Parti BERSATU untuk membantu memecah-belahkan parti berteraskan Melayu-Islam ini. Nasihat saya, tunggu dulu barisan Kabinet Tan Sri, barulah hakimi beliau.

DR. MUHAMMAD FAIZ NA’AMAN
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi
Parti Pribumi BERSATU Malaysia – HARAKAHDAILY 5/3/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.