Kelantan harap ada sinar perjuangan royalti

TUMPAT: Kelantan berharap ada sinar baharu perjuangan menuntut royalti yang digerakkan sejak lebih 10 tahun lepas.

Anggota Exco kerajaan negeri, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat berkata, harapan tinggi itu diletakkan kepada kerajaan baharu di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri.

Advertisement

Katanya rakyat Kelantan amat berharap perjuangan mereka sejak sekian lama menjadi kenyataan tidak lama lagi dengan perubahan politik negara yang berlaku kini.

“Kita berharap kerajaan baharu ini dapat membayar royalti kepada Kelantan selaras dengan perjanjian yang ditandatangani pada 1975.

“Ini adalah harapan rakyat sejak sekian lama untuk menikmati hasil kurniaan Allah SWT di perairan Kelantan,” katanya ditemui selepas merasmikan Hari Sukan Tahunan SRITI Tahfiz Ibadurrahman, di Taman Kota Warisan SPP, Berangan di sini.

Pada akhir tahun lepas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi dana khas RM400 juta kepada Kelantan bagi program kesejahteraan rakyat.– HARAKAHDAILY 5/3/2020