Muafakat jasa leraikan ego demi negara

INILAH masanya Malaysia melangkah gagah menjadi Negara punya jati diri dan unik tersendiri.

Muafakat jasa mantan pimpinan terdahulu ditagih bagi diadun, diolah, dikisar bagi menatijahkan satu resepi kebangkitan bangsa berdaulat. Disegani, digeruni, dihormati, disanjungi bagi lawan mahupun lawan. Dari Nusantara hingga ke pelosok tanah bumi.

Bila menekuni Minda Presiden PAS ‘Tun disanjung negara diselamat’ terzahir harapan tinggi dan tulus Bapa Penyatuan Ummah ini terhadap muafakat jasa pimpinan terdahulu. Seni dan wawasan kepimpinan utama negara penuh dengan ramuan dan resepi tersendiri.

Tujuannya? Ingin Malaysia ini berdaulat, hebat dan gagah menempuh fasa-fasa ujian yang hadir.

Advertisement

(1) Tun Dr. Mahathir [Bapa Pemodenan] terkenal dengan wawasan ‘Dasar Pandang Ke Timur’, Perdana Menteri Malaysia paling lama berkhidmat, Tun kaya pengalaman mentadbir serta kebijaksanaan politik. Perdana Menteri Malaysia pertama yang diangkat 2.5 kali sebagai teraju negara di usia 94 tahun.

Kebijaksanaan Tun mengemudi Malaysia antara lain terpamer melalui kejayaan beliau dalam memacu dan merancakkan lagi proses modenisasi dan pembangunan Malaysia, hingga beliau digelar sebagai ‘Bapa Pemodenan’. Antara usaha beliau yang paling terkenal ialah memperkenalkan ‘Wawasan 2020’ untuk menjadikan Malaysia sebuah negara industri yang mampu berdikari menjelang 2020.

Menara Berkembar Petronas dan Kuala Lumpur City Centre (KLCC), yang merupakan antara mercu tanda ikonik serta daya tarikan utama pelancong di tengah-tengah Kuala Lumpur, juga merupakan hasil ilham Dr Mahathir, yang beliau lancarkan pembinaannya pada 1992.

Beliau jugalah yang mengilhamkan pembinaan pusat pentadbiran Persekutuan Putrajaya, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dan Koridor Raya Multimedia, yang merupakan inisiatif ICT Kebangsaan Malaysia. Antara lainnya mengeluarkan Malaysia dalam kemelut kewangan dunia 1998 tanpa kebergantungan kepada IMF. Selain lantang berhadapan kuasa besar dunia.

(2) Tun Abdullah Badawi [Bapa Pembangunan Modal Insan] terkenal dengan motto ‘Cemerlang, Gemilang dan Terbilang’ sejak menjadi Perdana Menteri, Tun Abdullah telah berjanji mengetatkan kawalan rasuah dengan memberikan lebih kuasa kepada agensi-agensi pencegah rasuah serta memudahkan rakyat untuk mendedahkan amalan rasuah kepada pihak berkuasa. Beliau juga membuat tuduhan rasuah ke atas beberapa tokoh masyarakat dari zaman Mahathir, satu tindakan yang dipuji oleh orang ramai.

Tun Abdullah juga mengemukakan Islam Hadhari, satu tafsiran Islam yang mengatakan bahawa perkembangan ekonomi dan teknologi adalah secocok dengan ajaran Islam. Selain itu, pentadbirannya menumpukan pemulihan sektor pertanian Malaysia. Pada 10 September 2004, Abdullah, sebagai Menteri Kewangan, mengemukakan belanjawan sulungnya yang dianggap oleh orang ramai sebagai berorientasi pengukuhan dan penyelenggaraan berbanding dasar pertumbuhan yang ditekankan oleh Tun Mahathir. Tun Abdullah juga terkenal kerana menekankan keselamatan dalam negeri, selepas menyaksikan pertumbuhan amalan rasuah seperti penyogokan dalam pasukan polis.

Sejak menjadi Perdana Menteri, Abdullah telah menjawat jawatan Pengerusi untuk Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Bermula dari 2005, beliau juga menjadi Pengerusi untuk ASEAN.

(3) Dato’ Seri Najib Razak [Bapa Transformasi] mengangkat aura ‘Gagasan 1 Malaysia’ dalam pentadbirannya demi perpaduan rakyat di antara kaum. Ia juga dijadikan tema kemerdekaan pada tahun 2009. Matlamat konsep 1Malaysia ini adalah murni iaitu bagi memupuk dan mengukuhkan perpaduan nasional satu matlamat yang telah menjadi keutamaan setiap Perdana Menteri Malaysia semenjak Almarhum Tunku Abdul Rahman lagi. Pemupukan dan pengukuhan perpaduan ini menjadi keutamaan kepada mereka kerana mereka sedar tanpa usaha tersebut mana mungkin Malaysia yang bersifat pelbagai kaum akan mampu mengekalkan kelangsungannya sebagai sebuah negara yang aman dan makmur.

Gagasan 1Malaysia bukanlah satu wawasan atau gagasan pemikiran baru. Sebaliknya Gagasan 1Malaysia ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ lebih merupakan satu konsep dalam bidang pentadbiran yang menyarankan pemimpin-pemimpin Kerajaan menjalan-kan tugas dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat.

Walaupun di sana ada mempertikaikan kebolehmampuan pentadbirannya. Namun kejayaan besar era pentadbirannya tidak boleh disangkal oleh semua pihak.

(4) Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang [Bapa Penyatuan Ummah], dengan Gagasan Budaya Politik Matang dan Sejahtera telah berjaya membawa perubahan ketara dalam iklim politik tanah air. Wawasan yang sentiasa jauh ke hadapan demi penyatuan ummah yang sejagat. Jiwa besarnya dalam politik tidak boleh disangkal lagi dengan beberapa siri penting kemelut politik yang melibatkan pimpinan utama negara. Di saat gawat tersebut tokoh inilah yang menghulurkan tangan ‘kasih sayang’ dalam membantu kebangkitan moral pimpinan tersebut.

Kini, tokoh ini kembali dengan wawasan yang melangkaui sempadan kaum, budaya dan bangsa semata ingin melihat Islam berdaulat Islam memimpin perpaduan. Andai kesemua muafakat jasa ini mampu diadun dengan mengesampingkan ego diri dan kelompok.

Tokoh yang menarik perbincangan hangat maya sewaktu perubahan kerajaan selepas episod bergolak 7 hari memberi isyarat besar bahawa auranya sentiasa ada dalam apa jua kemelut politik dengan prinsipnya yang tersendiri.

(5) YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin. “Saya adalah Perdana Menteri untuk semua” merupakan kalimah yang penuh berseni dengan harapan dan keikhlasan demi melihat perubahan besar dalam pentadbiran negara. Satu-satunya Perdana Menteri yang diangkat tanpa proses pilihan raya yang mengejutkan ramai pihak. Namun di sana tertanam hasrat dan harapan tinggi untuk memberi jiwa dan raganya demi Malaysia Sejahtera. Andai kesemua jasa pimpinan yang disebutkan di atas diolah baik oleh Perdana Menteri ke-8 dalam melakar gagasan baharu negara. Tidak mustahil Perdana Menteri ke-8 ini bakal dinobatkan Tokoh Muafakat Jasa, dalam meraikan kelebihan dan jasa pimpinan terdahulu dalam memandu pentadbirannya di masa hadapan.

Tidak mustahil fenomena baharu kebangkitan rakyat Malaysia bakal menjelma menjadi salah sebuah negara yang digeruni di rantau Asia malah di dunia. Kuncinya satu, kembali bertaut, kembali merapat, kembali berukhuwwah, kembali memahami, kembali melengkapi, kembali menghormati.

Marilah semua rakyat Malaysia mara ke hadapan. Berbeza jangan sampai mengguris, memuji jangan sampai meruntuh. Mengkritik jangan sampai berpecah, menyokong jangan sampai melobi. Berta’awun dalam perkara kebajikan dan ketakwaan, bertasamuh dalam perbezaan agama, kaum dan politik, bak kata Tuan Guru;

“Laksana biduk berlalu kiambang bertaut, membujur lalu melintang patah”.

Ayuh, leraikan ego. Muafakat jasa demi Malaysia Sejahtera melangkaui sempadan politik, agama dan bangsa.

“Islam Memimpin Perpaduan”
“Malaysia Sejahtera”

AKHI MAL – HARAKAHDAILY 4/3/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.