Tun M dan TS Muhyiddin: Siapa yang khianat?

DALAM sidang media beliau pada pagi 1 Mac, Tun Dr Mahathir mendakwa bahawa beliau telah dikhianati oleh Tan Sri Muhyiddin yang kononnya telah merancang lama untuk menjadi Perdana Menteri. Kata Tun Dr Mahathir: “I feel betrayed mostly by Muhyiddin, he was working on this for a long time and now he has succeeded” (“Saya merasa paling dikhianati oleh Muhyiddin, dia telah lama merancang untuk merampas kuasa dan kini dia telah berjaya”). Boleh rujuk di sini: https://www.facebook.com/bhonline/videos/2616196231985347/

Dakwaan ini telah dinafikan oleh Tan Sri Muhyiddin dalam ucapan sulung beliau selaku Perdana Menteri pada malam 2 Mac bila beliau berkata: “Saya tahu ada yang marah kepada saya. Seperti yang dijangka, ada pihak yang menggelar saya pengkhianat. Dengarlah baik-baik. Saya bukanlah pengkhianat. Naluri saya jelas bahawa keberadaan saya di sini adalah untuk menyelamatkan negara daripada berterusan dilanda kemelut… Saya tidak mengidamkan jawatan Perdana Menteri. Saya hanya tampil untuk menyelamatkan keadaan apabila kedua-dua calon Perdana Menteri tidak mendapat sokongan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat.” Boleh rujuk di sini: https://www.facebook.com/112183975526837/posts/2823777211034153/

Di sebalik penafian Tan Sri Muhyiddin, dakwaan bahawa beliau adalah pengkhianat terus dimainkan, malah dengan lebih kuat lagi, oleh para penyokong tegar Tun Dr Mahathir, termasuk Datuk Kadir Jasin yang menulis pada pagi 4 Mac begini: “Jadi apabila Muhyiddin berkata dia tidak mengkhianati Dr Mahathir, ia hanyalah semantik – antara yang tersurat dengan yang tersirat. Sekali lagi Dr Mahathir telah dikhianati dan diderhakai oleh orang-orang yang dipercayainya.” Boleh rujuk di sini: https://www.malaysiakini.com/news/513159

Advertisement

Tan Sri Muhyiddin tiada peranan dalam peletakan jawatan Tun Dr Mahathir

Untuk menjawab persoalan sama ada Tun Dr Mahathir atau Tan Sri Muhyiddin yang khianat maka perlulah dilihat kepada susur-galur yang menjadi punca kepada kemelut yang berlaku.

Fakta yang ada di hadapan kita ialah Tun Dr Mahathir telah beberapa kali meminta maaf ekoran tindakan beliau menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-7 kepada Yang di-Pertuan Agong pada petang 24 Februari. Boleh rujuk di sini: https://www.facebook.com/12411993651/posts/10157100294948652/

Dalam kenyataan khas beliau kepada rakyat pada petang 26 Februari, Tun Dr Mahathir menyebut “izinkan saya memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana keadaan politik negara yang agak kucar-kacir dan mungkin menimbulkan keresahan di kalangan tuan-tuan dan puan-puan” dan “saya pohon maaf jika peletakan jawatan oleh saya adalah salah”. Alasan yang beliau berikan ke atas peletakan jawatan ini diterangkan seperti berikut: “Ada banyak sebab mengapa saya meletak jawatan tetapi cukuplah saya katakan bahawa saya merasa kononnya mendapat sokongan dari semua pihak sehingga saya tidak dapat memilih pihak mana yang saya pilih. Selain itu, terdapat juga tuduhan bahawa saya tidak berniat untuk melepas jawatan dan gila kuasa. Maka saya letak jawatan kerana saya tidak melihat kuasa dan jawatan itu sebagai ‘be all and end all’ adalah matlamat saya.” Boleh rujuk di sini: https://www.facebook.com/12411993651/posts/10157106106178652/

Dalam rakaman ucapan beliau pada pagi 1 Mac, Tun Dr Mahathir juga mengakui: “I decided to resign because I have lost support. So I have to resign. I have no choice. I thought that if I resign it goes back to the Agong… So that is the situation. So I would like to tell you once again I am very sorry.” (“Saya memutuskan untuk meletakkan jawatan kerana saya telah kehilangan sokongan. Jadi saya terpaksa meletak jawatan. Saya tiada pilihan. Saya fikir jika saya meletakkan jawatan ia akan pergi balik kepada Agong… Jadi itulah situasinya. Jadi saya ingin nyatakan kepada kamu sekali lagi saya mohon maaf.”) Boleh rujuk di sini: https://www.kinitv.com/video/89149167-f5e7-4717-87fc-32f6ea1e3758

Alasan yang beliau berikan ke atas peletakan jawatan ini sekali lagi diterangkan oleh Tun Dr Mahathir dalam tulisan beliau pada 3 Mac seperti berikut: “Saya letak jawatan kerana dalam pengakuan di hadapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong saya tidak dapat sokongan dari penyokong saya. Saya tidak dapat majoriti dan tidak lagi layak menjadi Perdana Menteri.” Boleh rujuk di sini: https://www.facebook.com/12411993651/posts/10157123474778652/

Dapat dilihat jelas daripada semua kenyataan Tun Dr Mahathir ini bahawa keputusan beliau untuk meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri adalah keputusan beliau sendiri. Walau apa sekalipun alasan beliau, apa yang pasti ialah pihak lain, khususnya Tan Sri Muhyiddin, langsung tidak pernah mempengaruhi apatah lagi memberi tekanan kepada beliau untuk meletakkan jawatan.

*Selepas peletakan jawatan Tun Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin masih mahukan Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri kembali

Sebaik sahaja Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada petang 24 Februari, Tan Sri Muhyiddin terus mengumumkan keputusan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU pada 23 Februari yang memutuskan bahawa “Semua Ahli Dewan Rakyat dari BERSATU telah menandatangani Akuan Bersumpah untuk terus menyokong dan memberi kepercayaan kepada YAB Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia.” Boleh rujuk di sini: https://www.facebook.com/112183975526837/posts/2807674562644418/

Begitu juga dengan Muafakat Nasional yang dianggotai oleh Umno dan PAS, serta PH yang dianggotai oleh PKR, DAP dan PAN, yang turut menyokong Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Begitupun, pada pagi 25 Februari 2020, Tun Dr Mahathir telah memaklumkan kepada semua pemimpin tertinggi parti-parti politik yang menyokong beliau sebagai Perdana Menteri dalam perjumpaan di Pejabat Perdana Menteri mengenai hasrat beliau untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan. Boleh rujuk di sini: https://www.facebook.com/12411993651/posts/10157103343498652/

Hasrat Tun Dr Mahathir untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan ini turut beliau umumkan dalam kenyataan media khas beliau pada petang 26 Februari, dalam mana beliau menyebut: “Saya berpendapat betul atau tidak, politik dan parti politik perlu diketepikan buat masa sekarang. Jika dibenar saya akan cuba adakan pemerintahan yang tidak memihak kepada mana-mana parti. Hanya kepentingan negara sahaja yang akan diutamakan. Jika diizin inilah yang akan saya cuba.” Boleh rujuk di sini: https://www.facebook.com/12411993651/posts/10157106106178652/

Hasrat Tun Dr Mahathir ini juga beliau akui dalam tulisan beliau pada 3 Mac 2020, dalam mana beliau menyebut: “Saya cadang diadakan satu Kerajaan Nasional yang bukan orang politik yang berpengetahuan juga akan menyertai Kerajaan. Orang parti juga akan menyertai Kerajaan tetapi sebagai orang biasa yang tidak tertakluk kepada agenda parti mereka.” Boleh rujuk di sini: https://www.facebook.com/12411993651/posts/10157123474778652/

Ekoran cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan ini maka Muafakat Nasional yang dianggotai oleh Umno dan PAS, menarik kembali sokongan mereka terhadap Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri. Boleh rujuk di sini: https://www.facebook.com/133347436726997/posts/2910683765660003/

Begitu juga dengan PH yang dianggotai oleh PKR, DAP dan PAN, yang turut menarik kembali sokongan mereka terhadap Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri serta mencalonkan pula Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke jawatan itu. Boleh rujuk di sini: https://www.facebook.com/16194831839/posts/10160220309551840/

Tan Sri Muhyiddin hanya mengikut keputusan Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU

Di dalam suasana kelam kabut tatkala kedua-dua Tun Dr Mahathir dan Dato’ Seri Anwar tidak mendapat sokongan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat inilah maka satu mesyuarat khas antara semua Ahli Dewan Rakyat BERSATU telah dilangsungkan pada pagi 28 Februari, dalam mana mesyuarat khas ini telah memutuskan untuk mencalonkan Tan Sri Muhyiddin pula sebagai Perdana Menteri. Boleh rujuk di sini: https://www.facebook.com/story.php?story_fbid=2571532033119171&id=1753747611564288

Pencalonan Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat BERSATU ini dibuat setelah Tun Dr Mahathir sendiri memberi izin kepadanya sehari sebelumnya.

Dalam sidang media pada pagi 27 Februari itu, Tun Dr Mahathir menyebut: “Well, there are several possibilities that we discussed, including of course the possibility that Muhyiddin might become a candidate. If everybody chooses him, I am ok. As a Prime Minister, ya. If he wins, he goes to Parliament and he is given full majority then he has the right to become the prospective Prime Minister and Agong can appoint him. He can be sworn in and of course he can form his cabinet… Whoever wins I will accept the appointment as the Prime Minister.” (“Ada beberapa kemungkinan yang kami bincangkan, termasuk kemungkinan Muhyiddin akan menjadi calon. Jika semua orang memilih beliau, saya ok. Ya, sebagai Perdana Menteri. Jika beliau menang, beliau pergi ke Parlimen dan beliau diberikan majoriti penuh maka beliau berhak untuk menjadi Perdana Menteri dan Agong boleh melantik beliau. Beliau boleh mengangkat sumpah dan beliau boleh membentuk Kabinet beliau… Siapa sahaja yang menang saya akan terima lantikan sebagai Perdana Menteri.”) Boleh rujuk di sini: https://www.facebook.com/astroawani/videos/187383095875564/

Dalam kenyataan media pada pagi 29 Februari pula, Tun Dr Mahathir mengesahkan bahawa beliau memberi kebebasan kepada semua Ahli Dewan Rakyat BERSATU untuk mencalonkan sesiapa sahaja sebagai Perdana Menteri dengan menyebut: “I left the meeting early to allow for a free debate among members of Parliament from BERSATU to choose whomever they feel is suited for the post of Prime Minister” (“Saya meninggalkan mesyuarat (semua ahli Dewan Rakyat BERSATU) awal untuk membolehkan satu perbahasan terbuka antara Ahli-ahli Dewan Rakyat BERSATU untuk memilih sesiapa sahaja yang sesuai bagi jawatan Perdana Menteri.”) Boleh rujuk di sini: https://www.facebook.com/12411993651/posts/10157113778073652/

Pada masa yang sama, dalam kenyataan media pada pagi 29 Februari ini juga, Tun Dr Mahathir secara tiba-tiba mengumumkan: “This morning I had a meeting with leaders of Pakatan Harapan. I am now confident that I have the numbers needed to garner majority support in the Dewan Rakyat. I am therefore prepared to stand as prospective candidate for Prime Minister.” (“Pagi ini saya telah bermesyuarat dengan para pemimpin Pakatan Harapan. Saya sekarang yakin bahawa saya mempunyai nombor yang mencukupi untuk mendapat sokongan majoriti di dalam Dewan Rakyat. Oleh itu saya bersedia untuk menjadi calon Perdana Menteri.”) Boleh rujuk di sini: https://www.facebook.com/12411993651/posts/10157113778073652/

Tun Dr Mahathir atau Tan Sri Muhyiddin yang khianat?

Persoalan sama ada Tun Dr Mahathir atau Tan Sri Muhyiddin yang khianat boleh diselesaikan dengan kembali kepada keputusan Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU pada 23 Februari.

Apakah dia keputusan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU pada 23 Februari ini?

Keputusan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU ini adalah seperti yang dinyatakan melalui kenyataan media Tan Sri Muhyiddin selaku Presiden BERSATU pada pada petang 24 Februari, iaitu: “Pimpinan Tertinggi BERSATU dalam mesyuarat khas yang diadakan pada 23 Februari telah membuat keputusan untuk keluar daripada Pakatan Harapan”. Boleh rujuk di sini: https://www.facebook.com/112183975526837/posts/2807674562644418/

Keputusan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU ini juga turut disahkan oleh Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Marzuki Yahya, yang mengumumkan kepada media selepas satu lagi Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU pada malam 24 Februari berbunyi “Dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi juga kita telah bersetuju untuk keluar daripada Pakatan Harapan, inilah keputusan parti dan kita akur dengan keputusan parti”. Boleh rujuk di sini: https://www.facebook.com/pribumibersatuofficial/videos/883627055407820/

Keputusan Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU ini malah diakui oleh Tun Dr Mahathir sendiri dalam sidang media beliau pada pagi 1 Mac dalam mana beliau berkata: “Dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, despite my appeal not to make a decision (di sebalik rayuan saya supaya tidak membuat satu keputusan), tetapi akhirnya BERSATU buat keputusan untuk keluar daripada Pakatan Harapan.” Boleh rujuk di sini: https://www.facebook.com/bhonline/videos/2616196231985347/

Keputusan Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU ini juga diakui oleh Datuk Kadir Jasin yang menulis pada pagi 4 Mac 2020 begini: “Maaf cakaplah kalau saya kata, majoriti Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU yang bersidang pada hari Ahad 23 Februari lalu, seolah-olah dirasuk syaitan kerana bertubi-tubi mengasak Dr Mahathir supaya bersetuju dengan mereka untuk menarik BERSATU keluar daripada PH dan menyertai Umno dan PAS. Ahli MPT yang bercakap mempertahankan Dr Mahathir adalah minoriti.” Boleh rujuk di sini: https://www.malaysiakini.com/news/513159

Oleh itu, berdasarkan segala keterangan ini maka jelaslah bahawa Tun Dr Mahathir, dan bukan Tan Sri Muhyiddin, yang khianat kepada keputusan parti. Dakwaan bahawa Tan Sri Muhyiddin yang khianat adalah bertentangan dengan semua fakta yang ada.

Malah, Tun Dr Mahathir dalam sidang media di Yayasan Al-Bukhary pada pagi 1 Mac mengakui bahawa beliau tidak lagi mendapat sokongan daripada majoriti ahli-ahli BERSATU bila beliau menyebut: “That is for the party to decide whether it is going to meet and expel me as the chairman, which is likely to happen because the majority of the party rejected me as their chairman. They can obviously meet and expel me.” (“Terpulang kepada parti untuk sama ada bermesyuarat dan memecat saya sebagai Pengerusi, yang berkemungkinan untuk berlaku kerana majoriti ahli-ahli BERSATU menolak saya sebagai Pengerusi mereka. Mereka tentunya boleh bermesyuarat dan memecat saya.”) Boleh rujuk di sini: https://www.facebook.com/bhonline/videos/2616196231985347/

Tan Sri Muhyiddin yang berjiwa besar

Begitupun, di sebalik semua ini, Tan Sri Muhyiddin ternyata masih berjiwa besar dengan tidak mengambil pendekatan berkonfrontasi tetapi memilih nada conciliatory dengan masih menunjukkan sanjungan dan rasa hormat beliau kepada Tun Dr Mahathir dengan berkata: “Saya juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Tun Dr Mahathir yang telah banyak berjasa kepada negara kita. Bersatu teguh, bercerai roboh. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Ayuh, bersatulah kita demi tanah air tercinta.” Boleh rujuk di sini: https://www.facebook.com/112183975526837/posts/2823777211034153/

Adalah diharapkan agar Tun Dr Mahathir dan para penyokong tegar beliau akan turut berjiwa besar dengan tidak lagi cuba menggugat keutuhan kerajaan baru pimpinan Tan Sri Muhyiddin yang selaras dengan keputusan Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU pada 23 Februari. Sudah pastilah panduan dan sokongan Tun Dr Mahathir terhadap kerajaan baru ini, selain di dalam BERSATU, akan sangat-sangat dihargai oleh Tan Sri Muhyiddin.

Tiada apa yang perlu dibimbangkan mengenai kerajaan baru pimpinan Tan Sri Muhyiddin ini.

Kebimbangan bahawa kerajaan baru akan berkompromi dengan perasuah telah ditepis melalui penegasan Tan Sri Muhyiddin sendiri dalam ucapan sulung beliau selaku Perdana Menteri pada malam 2 Mac bila beliau berkata:
(1) “Saya berjanji akan melantik anggota jemaah Menteri dari kalangan individu yang bersih, berintegriti dan berkaliber”.
(2) “Kerajaan pimpinan saya juga akan memberi keutamaan kepada usaha-usaha untuk meningkatkan integriti dan tadbir urus kerajaan yang baik. Ini termasuk usaha-usaha untuk membanteras amalan rasuah dan salah guna kuasa dengan meningkatkan penguatkuasaan dan memperkemaskan undang-undang, peraturan dan amalan yang berkaitan.”
Boleh rujuk di sini: https://www.facebook.com/112183975526837/posts/2823777211034153/

Kebimbangan bahawa kerajaan baru akan menonjolkan dasar-dasar yang terlalu berbeza dengan kerajaan sebelumnya juga telah ditepis melalui penegasan Tan Sri Muhyiddin sendiri bila beliau berkata: “Kerajaan pimpinan saya akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (yang dilancarkan oleh Tun Dr Mahathir) yang akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara dan merapatkan jurang ekonomi dalam masyarakat”. Boleh rujuk di sini: https://www.facebook.com/112183975526837/posts/2823777211034153/

Kebimbangan bahawa kerajaan baru akan mengenepikan orang bukan-Melayu juga telah ditepis melalui penegasan Tan Sri Muhyiddin sendiri bila beliau berkata: “Saya adalah Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah. Baik saudara orang Melayu, saudara orang Cina, saudara orang India, Sikh, Iban, Kadazan, Dusun, Murut, orang asal, atau apa jua kaum dan etnik, saya adalah Perdana Menteri saudara.” Boleh rujuk di sini: https://www.facebook.com/112183975526837/posts/2823777211034153/

Oleh itu, marilah kita bersama-sama memberikan sokongan padu kepada Tan Sri Muhyiddin untuk membina semula negara kita dan mengembalikan kegemilangannya, paling tidak sehingga berakhirnya penggal Parlimen ini.

Khusus untuk mereka yang masih mahu berselindung di balik Tun Dr Mahathir, tidakkah kamu merasa sedih dengan semua hinaan yang dilemparkan kepada beliau dari Pakatan Harapan, termasuklah ‘nyanyuk’ dan ‘sakit jiwa’?

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 5/3/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.