Federalisme, Perlembagaan jamin hak negeri

KUALA LUMPUR: Latar belakang parti yang menerajui kerajaan negeri tidak menjadi isu, sebaliknya berpegang kepada konsep Federalisme, hak antara Negeri dan Persekutuan termaktub Perlembagaan akan ditunai sebaiknya.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyatakan pendirian tersebut sebagai reaksi terhadap komitmen Perikatan Nasional terhadap pentadbiran negeri walaupun gabungan tersebut belum dirasmikan.

Beliau menasihatkan agar perkembangan Kabinet dan rombakan EXCO Kerajaan Negeri diputuskan secara tidak gopoh yang menjadi sebahagian amalan syaitan, sebakik meminta agar ia dicermati.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang bersama sidang media itu turut menyatakan bahawa rombakan di peringkat negeri hanya sesuai berlaku selepas urusan di peringkat Pusat diselesaikan.

Katanya, semua itu tidak lain adalah untuk memastikan pentadbiran dan pengurusan berjalan lancar, namun sehingga kini belum ada sebarang penyusunan jawatan dilakukan antara parti terbabit.

Malah jelasnya, PAS dan Umno pula lebih menumpu kepada agenda mengukuhkan Muafakat Nasional sebelum ke fasa Perikatan Nasional di mana semua itu akan dilalui secara berperingkat.

Turut menceriakan sesi sidang media khas itu apabila Tuan Guru Abdul Hadi menyatakan kesediaan untuk hal berkaitan harga minyak dan PTPTN diteliti sesuai tanggungjawab dan kebajikan kepada rakyat. – HARAKAHDAILY 6/3/2020

Advertisement