Hormati proses kehakiman, jangan tuduh dan mengaibkan

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menasihati semua pihak agar menghormati proses kehakiman dengan tidak menjadikan media sosial untuk membuat keputusan seperti mahkamah.

Advertisement

“Itu tidak boleh, biar mahkamah yang buat keputusan. (Jangan didakwa) Orang ini salah, orang ini ada kes, orang ini boleh, orang ini tak boleh. Perbezaannya, saya buat kenyataan dan membuat kenyataan awal yang disiar dalam media, saya tegas dengan pertemuan dengan YAB Perdana Menteri semalam.

“PAS istiqamah, konsisten dengan pendirian kita, memilih anggota Kabinet yang punya integriti, yang bersih, yang berkepakaran, kalangan ahli politik, di kalangan profesional, kerana kita mahu menyelamatkan negara.

“Apa yang baik kerajaan dulu kita teruskan, apa yang baik yang PH buat kita teruskan. Apa janji mustahil kita tak boleh buat. Banyak dia (PH) janji mustahil, kita tak boleh buat itu. Janji-janji dia yang elok, kita akan buatlah, janji PH yang baik kita akan pilih, walaupun dia sudah jatuh.

“Termasuk janji kita sendiri, ada perkara yang sama, perkara yang berbeza, itu akan dilihat,” ulas beliau pada sidang media khas selepas menyampaikan Kuliah Dhuha mingguan di Masjid Rusila, Marang, sebentar tadi.

Kata beliau juga, berlaku adil dalam semua perkara tersebut juga adalah cara demokrasi dan PAS tidak mahu melemparkan sebarang tuduhan sebelum proses mahkamah, kerana mengikut konsep kehakiman Islam dan Barat, pihak yang dituduh belum bersalah, kecuali setelah dibuktikan di mahkamah.

“Kita ambil kira (penting) mahkamah ini. PH, tengah mahkamah pun henti, hentikan perbicaraan, orang tertentu yang ada kes ini. Termasuk yang letak bawah karpet, kita tahu, kes-kes besar letak bawah karpet.

“Dan kita beri nasihat kepada mereka, kalau rumah mereka berdinding kaca, jangan lontar orang yang lalu, kalau rumah berdinding kaca, jangan lontar orang. Kalau rumah kita dinding kaca, kalau orang lontar, kita lontar rumah, pecah dinding itu, nampak semua yang ada dalam rumah itu. Jangan dedahkan keaiban orang, keaiban kita pun banyak juga.

“Saya tak mahu politik, budaya mendedahkan keaiban-keaiban ini, ini bukan budaya kita. Tapi nampaknya dah pergi ke situ. Biar kita selamatkan negara. Kita tahu bahawa bukan semua orang sempurna, pepatah kita ada mengatakan kalau tak ada rotan, akar pun berguna,” nasihatnya. – HARAKAHDAILY 6/3/2020