Iktibar dari sikap politik yang menghancurkan

SEMUA pihak perlu ambil iktibar dengan kekalahan PAS dan Umno, parti berteraskan Melayu Islam dalam PRU14 yang lalu. Sebenarnya DAP bukanlah terlalu kuat. Tetapi kerana perpecahan dua parti Melayu Muslim yang terbesar iaitu PAS dan Umno, serta segelintir Melayu yang sanggup menjadi barua kepada DAP, maka DAP memperolehi kerusi nombor dua terbanyak. Sehingga Kementerian-kementerian penting banyak dikuasai DAP. Akhirnya DAP menjadi dominan pula dalam PH apabila BERSATU retak dan PKR terbelah. PAN yang sememangnya masih baby dan disusui DAP tidak sukar untuk dikuasai.

Nasib baiknya Allah menjadikan DAP sebuah parti yang gelojoh dan rakus. Kegelojohan serta kerakusannya menjelma dengan sangat nyata sehingga dapat dilihat secara jelas oleh rakyat Malaysia termasuk pengundi yang pernah mengundi PH. Rakyat yang rata-rata masih tebal jiwa Islam dan Melayunya tersentuh dan terasa. Lebih-lebih lagi apabila agama dan bangsa mereka diperlekehkan sekian rupa. Malahan yang tidak terlalu kuat semangat agama dan Melayunya turut berkecil hati. Akhirnya pohon PH yang pada awalnya kelihatan gagah dan rendang akhirnya kering dan daun-daunnya keguguran. sehingga yang ada hanya dahan-dahan tua dan ranting-ranting rapuh yang rontok. Lalu tumbanglah pohon itu dengan tidak disangka oleh sebahagian besar pemerhati politik.

Advertisement

PH runtuh dalam usia 22 bulan. Sebab utama keruntuhan PH adalah kerana penyakit osteoporosis yang dihidapinya. Luaran kelihatan segak dan sihat. Namun di bahagian dalamnya merebak penyakit kereputan tulang yang parah. Ia menular dengan begitu cepat sehingga menyerang bahagian otak. Maka muncullah berbagai jenis kegilaan di dalamnya. Anwar yang mewakili PKR hari-hari meracau pasal PM 8. DAP pula hari-hari mengasak Tun agar menyegerakan peralihan kuasa kepada Anwar. PAN pula hari-hari bertugas back up DAP. Tun pula hari-hari duduk bersilat dan bertepis soal peralihan kuasa itu. Sehingga mereka tidak punya ketenangan dan keupayaan untuk memikirkan soal rakyat lagi. Semuanya adalah kerana kegilaan mereka kepada jawatan, kuasa, pangkat, harta benda dan dunia. Akhirnya mereka tersembam jatuh. Bagaikan runtuh sebuah rumah saat penghuninya sedang nyenyak tidur pada waktu malam yang dingin.

Semua itu sangat penting untuk dipelajari oleh PN. Jangan ambil penyakit PH itu dan dipindahkan kepada jasad PN. mari kita ambil Islam sebagai teras kemuliaan dan perpaduan. Ambil semangat Melayu sebagai asas kehormatan dan persaudaraan dan integriti mulia sebagai asas pentadbiran dan pengurusan. Jangan tinggalkan Allah nanti Allah akan tinggalkan kita. Jangan berlari turun dari bukit Uhud lantaran ghanimah yang berselerak ditinggalkan musuh. Baik PAS atau Umno atau mana-mana parti dalam PN ini berikan walak dan taat kepada pimpinan masing-masing membuat keputusan. Kita mengambil alih pemerintahan negara adalah untuk menyelamatkan agama, bangsa dan negara, bukannya untuk menyelamatkan setengah manusia dan kelompok, apatah lagi untuk kepentingan diri dan perut. Ambillah iktibar dan pelajaran sementara Allah masih memberi peluang.

Selamat berjuang ke arah Malaysia Sejahtera.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 6/3/2020