Krisis di sempadan Turki-Greece dan pergolakan Idlib

LATAR belakang

(1) Sebelum ini saya ada menulis beberapa berita mengenai Turki dan situasi politiknya. Situasi ini penting untuk difahami kerana pergolakan di sekitar negara itu agak hangat.

Antara tajuk-tajuk yang berkaitan dalam isu ini, yang perlu difahami terlebih dahulu;

Pertama, Isu gas Mediterranean, antara Turkstream vs Eastmed.

(a) Mediterranean dan negara-negara yang berkonflik. [1]

(b) Persaingan gas: Turkstream vs Eastmed. [2]

Kedua, Isu Idlib, dan krisis sempadan dengan geng Kurdistan dan Syria.

(a) Krisis Idlib dan psywar Amerika. [3]

(b) Idlib: Krisis yang rencam dan berselirat. [4]

Advertisement

(2) Susulan isu pertembungan antara Turkstream dan Eastmed, mengheret kepada ‘pergaduhan’ dengan Greece yang merupakan jiran sebelah Turki.

Greece pula disokong oleh Perancis dan negara-negara Eropah, menyebabkan isu ini semakin besar. Apatah lagi selama ini Turki sememangnya berkrisis dengan NATO sejak 2016.

Turki pada mulanya berpakat dengan Rusia untuk mewujudkan keamanan di Libya. Atas tujuan projek Turkstream juga. Namun, Haftar yang menguasai Libya pula berpakat dengan Eropah.

(3) Isu Idlib atau lebih umum kepada krisis sempadan Turki-Syria, agak rumit dan berselirat. Isu ini menyebabkan Syria menyerang tentera Turki di Idlib.

Apatah lagi Turki dituduh bersama pemberontak di Syria, menyebabkan krisis di Idlib semakin memburuk, dan menyebabkan semakin teruknya krisis pelarian.

Krisis di Idlib

(1) Pada 11 Februari lepas, PBB menyatakan bahawa krisis di wilayah Idlib dan Aleppo menyebabkan 689,000 melarikan diri dan jumlah yang terkorban dalam krisis ini, semakin meningkat.” [5]

Dalam banyak isu politik ini menyebabkan Turki agak tersepit dalam banyak perkara. Turki yang sudah berkrisis dengan NATO sejak 2016 menjangka Russia akan mem‘backup’nya dalam isu Idlib.

Malangnya dalam isu Syria ini, Russia tidak berpihak kepada Turki. Maka, Turki tersepit kerana NATO dilihat sudah tidak menghiraukan Turki, manakala Russia pula tidak mem‘backup’nya.

(3) Sepertimana yang saya utarakan tadi, antara faktor mengapa Russia tidak memihak kepada Turki dalam isu Idlib ialah tuduhan bahawa Turki membantu para pemberontak atau pengganas di negara itu.

Contohnya dalam isu persaingan antara Turkstream dan Eastmed, Turki membawa masuk geng pemberontak Syria yang diupah dengan bayaran yang lebih lumayan ke dalam Libya.

Strategi ini dilihat sebagai persediaan bertembung dengan Haftar. Tindakan Turki mengupah pemberontak Syria ini dilihat sebagai Pelan B sekiranya nego antara Russia dan Haftar tidak membuahkan hasil.

Bahkan Haftar juga dilihat ‘memihak’ kepada Greece. Mungkin pakatan dengan pemberontak Syria inilah sebab mengapa Russia tidak menyebelahi Turki dalam isu Idlib.

(5) Tindakan Turki ini mendapat kecaman daripada Barat, dan dikatakan bertentangan dengan Persidangan Damai di Berlin beberapa minggu lepas yang saya nyatakan tadi.

Pelarian di sempadan Turki-Greece

(1) Pada 27 Februari baru-baru ini, serangan Kerajaan Syria terhadap Idlib berterusan, menyebabkan kematian 33 orang Tentera Turki di wilayah itu. [6]

Justeru, Turki mengambil tindakan penyelesaian dengan membuka pintu sempadan. Dasar Luar Turki yang terbaru ini, menjadi gambaran bahawa Turki dalam keadaan tersepit khususnya di Idlib.

(2) Media-media seperti BBC, The Guardian dan sebagainya memberitakan pembukaan pintu sempadan ini sejak minggu lepas, mempersilakan kepada para pelarian di Turki untuk masuk ke Eropah. [7]

Erdogan menyatakan; [8]

“Kita mengambil keputusan yang berkuat kuasa serta, tidak akan menyekat pelarian daripada memasuki Eropah sama ada melalui jalan laut mahupun darat.

“Semua pelarian termasuk Syria dialu-alukan untuk tiba ke Kesatuan Eropah (EU).”

(3) Hasil pengisytiharan tersebut menyebabkan Greece terpaksa mengambil tindakan menyekat sempadan kedua-dua negara itu. Maka, berlonggoklah para pelarian di situ.

Sehingga saat ini dianggarkan lebih 30,000 pelarian daripada Afghanistan dan Syria di sempadan itu. Ada di kalangan mereka ada yang sudah mendarat di pulau-pulau Agea di Timur Greece.

Untuk berhadapan dengan kebanjiran pelarian itu, Greece mengambil tindakan dengan semburan pemedih mata terhadap mereka yang cuba mendapatkan suaka.

Memangsakan rakyat

(1) Perlu tahu bahawa di Turki sahaja terdapat sekitar 4 juta pelarian. Sejak dasar luar tadi dibuat, berlonggok-longgok pelarian cuba menembusi sempadan itu. Beberapa kes kematian yang diberitakan di sempadan itu.

Antaranya kanak-kanak maut ketika bot yang dinaiki para pelarian itu terbalik di sempadan laut. Dikhabarkan juga kematian seorang warga Syria di sempadan daratnya.

(2) Foreign Policy [7] menyiarkan berita pada hari ini bahawa tujuan Turki berbuat demikian supaya mengheret atau memaksa negara-negara Eropah untuk menyerang Syria.

Kerana pelarian-pelarian itu majoritinya bermula daripada krisis yang semakin dahsyat dan berselirat di Syria tadi, dengan perancangan Amerika atau Israel dan sebagainya.

(3) Bukan setakat itu, projek Israel Raya, Pemetaan Semula Asia Barat, Yinon Plan 1982, semuanya ada kaitan antara satu sama lain dalam ‘menyumbang’ kepada krisis di Syria.

Contohnya kebangkitan Kurdistan yang hidup terpecah-pecah di Syria, Turki dan Iraq. Seolah-olah sedang berjuang menuju ke arah pembentukan Kurdistan Raya. [9]

(4) Boleh rujuk beberapa artikel saya sebelum ini berkaitan dengan krisis Syria, yang dilihat merupakan salah satu perancangan pembentukan Israel Raya (Pax Judaica).

Seolah-olah strategi Turki kali ini cuba memaksa Eropah campur tangan dalam isu Syria, setelah mana kedudukan Turki di Syria tidak di‘cover’ oleh Russia.

Gencatan senjata atau WW3?

(1) Dasar Luar Turki yang membuka pintu sempadan Turki-Greece tadi menyebabkan mata-mata negara Eropah tertumpu dalam isu ini, ada yang melahirkan simpati.

Seolah-olah baru nak cakna isu kemanusiaan yang selama ini ditanggung oleh Turki. PBB menyeru supaya anggota UNSC bersidang untuk meluluskan resolusi mengadakan gencatan senjata.

Minggu lepas, sembilan daripada 15 anggota UNSC menggesa Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, untuk meningkatkan usaha mengembalikan keamanan di Idlib. [6]

(2) Media pro Barat memainkan peranan menggambarkan usaha mengamankan Idlib ini seolah-olah bakal diganggu oleh Russia. Hakikat ini menggesa kita supaya tidak gelojoh menghukum.

Biasanya pendirian Russia selari dengan China dalam banyak perkara. Media-media yang dilihat pro Barat cuba menggambarkan bahawa kuasa-kuasa ini seolah-olah tidak mahu campur tangan PBB.

(3) Antara faktornya mungkin kerana PBB biasanya dilihat membawa agenda pro Barat, manakala Syria pula adalah kawasan yang agak kamceng dengan Russia berbanding Turki.

Mungkin bimbang krisis menjadi lebih memburuk di rantau itu. Bahkan, kalau diikut bacaan semasanya, bimbang krisis ini melarat kepada Perang Dunia Ketiga.

Krisis Amerika vs Iran yang menjadi pembuka tirai 2020. Krisis Pakistan India, Amerika vs China dan macam-macam lagi yang menuju ke arah satu kebimbangan.

[1] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3445109698864099&id=100000953077134

[2] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3376143319094071&id=100000953077134

[3] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3381515588556844&id=100000953077134

[4] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3429340600441009&id=100000953077134

[5] https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2020/02/654528/700000-melarikan-diri-berikutan-pertempuran-tentera-syria-turki

[6] https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2020/02/660170/33-tentera-turki-terbunuh-di-idlib-syria

[7] https://foreignpolicy.com/2020/03/03/crisis-escalates-turkey-greece-border-refugees-european-union-erdogan/

[8] https://www.bhplus.com.my/dunia/asia/2020/02/660300/turki-tidak-akan-halang-pelarian-syria-ke-eropah

[9] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1209474262579378&id=251201991739948

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 6/3/2020