Pemimpin politik kumpul kekayaan?

KADANG-kadang kita merasa hairan bagaimana pemimpin ghairah mengumpul aset kekayaan sedangkan rakyat masih ada yang merintih kesusahan. Masih ada kedengaran gelandangan di wilayah kota ini yang tidur di bawah jambatan serta mengais sisa makanan sedangkan Menterinya diulit kemewahan.

Perhatikan bagaimana kebimbangan Khalifah Umar Abdul Aziz mengenai kondisi hidup rakyatnya. Beliau sangat bimbang sekiranya rakyat hidup susah sedangkan dia berada dalam keadaan mewah kesenangan.

Al-Imam al-Suyuti merekodkan kisah Fatimah binti Abdul Malik, isteri kepada Umar Abdul Aziz yang datang menziarahi suaminya dan mendapati suaminya itu sedang menangis. Lalu Fatimah bertanya kepada suaminya:

Advertisement

“Mengapa engkau menangis wahai Khalifah.”

Umar Abdul Aziz lalu menjawab:

“Aku dilantik untuk menguruskan urusan umat Muhammad. Ada di kalangan mereka yang susah, miskin, lapar, dan dizalimi.”

Lalu dia berkata:

فعلمتُ أن ربي سائلي عنهم يوم القيامة، فخشيتُ ألا تثبتَ لي حجة فبكيتُ

“Maka aku tahu bahawa Tuhanku aku bertanya mengenai semua keadaan rakyatku ini dan aku takut aku tidak mempunyai hujah untuk semua perkara. Dengan sebab itu aku menangis.”

(Tarikh al-Khulafa)

Perhatikan bagaimana Umar Abdul Aziz bimbang sehingga menangis kerana sangat takut sekiranya dia tidak berjaya menjadi pemimpin yang baik untuk berkhidmat kepada rakyat. Tiada terlintas mengumpul kekayaan peribadi.

Bukan itu sahaja, isterinya turut menyerahkan harta perhiasan peribadi bagi memastikan tiada rakyat yang berada dalam keadaan susah dan dizalimi.

Menurut al-Imam Ibn Jauzi, Khalifah Umar Abdul Aziz turut pernah menyarankan kepada isteri beliau menyerahkan perhiasan yang berharga kepada Baitul Mal kerana bimbang harta tersebut tidak dapat dipastikan sumbernya. Beliau dengan tegas berkata:

فإني أكره أن أكون أنا وأنت ومعك هذه الجواهر في بيت واحد

“Sesungguhnya aku tidak suka untuk berada bersamamu sedangkan harta perhiasan ini berada dengan kita dalam rumah ini.”

(Sirah wa Manaqib Umar Abdul Aziz)

Beginilah yang seharusnya dihayati oleh pemimpin Muslim. Mereka tidak seharusnya leka mengumpul aset kekayaan sedangkan masih ada lagi rakyat yang hidup susah melarat.

Atas dasar itu setiap rakyat mesti bijak memilih pemimpin. Utamakan pemimpin Muslim yang berwibawa, yang mempunyai latar pengetahuan Islam yang kukuh, berprinsip mempertahankan Islam dan negara, berintegriti serta mengutamakan kepentingan rakyat dari kehendak peribadi.

Semoga Allah membimbing kita semua.

DR. AHMAD SANUSI AZMI – HARAKAHDAILY 6/3/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.