Tuan Guru tidak dambakan jawatan

DATO‘ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku Presiden parti selalu mendidik kami agar tidak terjebak dalam penyakit atau wabak ‘hubbur Riyaasah‘ iaitu kemaruk jawatan.

Advertisement

Tatkala negara sedang menanti pembentukan kabinet kerajaan baharu (Perikatan Nasional) ekoran kejatuhan kerajaan terdahulu (Pakatan Harapan), saya percaya semua orang tertumpu kepada PAS untuk melihat bagaimana pendiriannya.

Hari ini Dato’ Seri Tuan Guru sekali lagi tampil menegaskan bahawa yang menjadi perhatian PAS dan keutamaan kepada beliau sebagai presidennya ialah membantu untuk sebuah pembentukan kerajaan yang berintegriti, bersih dan memenuhi aspirasi masyarakat majmuk.

Keutamaan PAS juga adalah memastikan kerajaan supaya selesaikan masalah kos sara hidup rakyat, isu-isu ekonomi yang lainnya, perpaduan kaum, gejala sosial dan pembangunan insan.

PAS turut mengemukakan pandangan bahawa pembentukan kabinet baharu ini mestilah berasaskan :

a) integriti

b) kelayakan

c) kemahiran

d) menubuhkan badan hisbah

e) profesional

f) mewakili masyarakat majmuk.

Lebih menarik, apabila ditanya oleh wartawan mengenai kedudukan PAS dan  Dato’ Seri Tuan Guru sendiri, apakah beliau tidak mengambil posisi dalam pembentukan kabinet ini? Dato’ Seri Tuan Guru menegaskan:

a) PAS serahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri untuk membentuk kabinet tanpa syarat dan sebarang permintaan.

b) “Saya tidak syok bila dicalonkan. Saya tidak dilantik pun tidak mengapa. Saya hanya mahu bekerja untuk negara”.

Peluang mengisi kedudukan di dalam kabinet sedikit pun tidak menggamit keinginan beliau meskipun beliau sangat berkelayakkan.  Fokus beliau hanyalah perjuangan untuk menegakkan Islam dan membangunkan negara ini dengan Islam.

Raut wajahnya yang senantiasa tenang dan kesungguhnya bekerja dengan gigih menampakkan keikhlasan beliau dan kepimpinannya. 

Semoga Allah S.W.T senantiasa mengurniakan hidayah dan taufiq buat beliau terus memimpin parti dan ummah ke arah menegakkan Islam di bumi tercinta ini.

“Islam Memimpin Perpaduan”

NASRUDIN HASSAN – HARAKAHDAILY 6/3/2020