YDPA tenang, demokratik tangani kemelut politik

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong dan Institusi Raja-raja telah dapat menangani kemelut politik negara secara tenang dan damai secara penyelesaian yang demokratik, demikian puji Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Advertisement

“Walaupun Tuanku tak terlibat dengan politik, tapi bila menghadapi masalah politik, mestilah mengambil saluran yang betul mengikut Perlembagaan. Di mana demokrasi ini banyak pintu, bukan satu pintu demokrasi. Demokrasi pilihan raya, demokrasi melalui Wakil Rakyat dipilih oleh rakyat, demokrasi juga ialah demonstrasi aman, termasuk demokrasi.

“Semua diambil (terima) dan Tuanku telah mengambil pendekatan yang kita anggap sebagai sangat bijak, setelah memanggil wakil-wakil rakyat, memanggil ketua-ketua parti daripada semua pihak. Setelah melihat sokongan-sokongan wakil rakyat.

“Dan melihat kesesuaian demografi penduduk. Wakil rakyat yang majoriti adalah orang Islam dan orang Melayu. Dan melihat bagaimana kecelaruan Pakatan Harapan yang telah didominasikan oleh DAP, mereka buat pusingan-U dua tiga empat kali.

“Dua tiga empat kali, rakyat lihat. Sekali sokong Tun, sekali tak sokong Tun. Sekali begini, sekali begini,” ujarnya pada sidang media khas yang diadakan selepas Kuliah Dhuha mingguan di Masjid Rusila, Marang, sebentar tadi.

Menurutnya, PAS dan Umno serta beberapa parti lain membuat pertimbangan semula setelah DAP termasuk Dato’ Seri Anwar Ibrahim membuat pusingan-U tersebut dengan kembali menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad.

Oleh itu jelas beliau, PAS dan Umno telah membuat keputusan untuk memilih calon alternatif iaitulah Tan Sri Muhyiddin Yassin serta mengadap Tuanku YDPA di mana Baginda telah melihat Akuan Bersumpah (SDl yang dikemukakan.

Bahkan kata Tuan Guru  Baginda juga mengambil kira pandangan semua sekali termasuk Malaysia Timur dan bukan hanya Malaysia Barat sahaja di mana PAS amat menghargai rakan-rakan dari Malaysia Timur atas hal itu.

“Mereka terpaksa bersusah payah. Dan akhirnya majoriti rakyat Malaysia Timur bersama mendukung pandangan yang terbaik, iaitulah memilih Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menyelesaikan masalah.

Dan akhirnya Duli Yang Maha Mulia Tuanku membuat pengumuman dan pengisytiharan. Oleh kerana itu mereka (Pakatan Harapan) yang cuba balik nak ungkit, nak buat undi tak percaya, tak percaya kepada Tuankulah.

“Itu tajuk pentingnya, tak percaya kepada Tuanku, tak percaya kepada Agong. Terpulang kepada rakyat untuk menilai mereka,” terang Ahli Parlimen Marang itu. – HARAKAHDAILY 6/3/2020