Idrus miliki pengalaman luas – MB Kelantan

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menyambut baik pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Idrus Harun sebagai Peguam Negara yang baharu.

Menteri Besar Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, pelantikan itu begitu bersesuaian memandangkan Idrus seorang yang berpengalaman dalam bidang kehakiman.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan program Riadah Berbasikal Penjawat awam.

Majlis pelancaran itu diadakan di perkarangan Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.

Advertisement

Katanya, pelantikan itu amat wajar kerana Peguam Negara mestilah daripada mereka yang banyak maklumat dan pengalaman.

“Saya menyokong pelantikan ini dan harapan kita, beliau dapat melaksanakan tugas mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan pelantikan Idrus menggantikan Tan Sri Tommy Thomas yang melepaskan jawatan pada 28 Februari lalu.

Pelantikan itu untuk tempoh dua tahun yang dibuat selaras Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dan dipersetujui Yang di-Pertuan Agong.– HARAKAHDAILY 7/3/2020