Kepentingan masyarakat majmuk tetap terjamin

DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP) menegaskan pembinaan negara sejahtera yang dibawa oleh PAS dalam kerajaan baharu hari ini tetap menjamin dan memelihara hak serta kewujudan masyarakat majmuk yang sedia ada berpandukan prinsip keadilan mutlak dan kemanusiaan sejagat menerusi lunas perundangan dan peruntukan dari Perlembagaan.

Advertisement

Sejarah Islam terdahulu jelas menunjukkan masyarakat majmuk telah pun wujud di bawah pemerintahan Islam dan tidak abaikan kebajikan mereka malahan tetap diberikan keadilan yang sama sebagaimana warganegara yang menganut Islam yang lain. Asas keadilan yang dibawa oleh Islam adalah mendekatkan diri penganut Islam kepada ketaqwaan. Sebab itu, hak masyarakat majmuk pasti terpelihara dan terjamin di bawah pemerintahan berasaskan agama Islam dalam penerapan negara sejahtera.

Firman Allah S.W.T:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ كُونُوا۟ قَوَّ ٰ⁠مِینَ لِلَّهِ شُهَدَاۤءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا یَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰۤ أَلَّا تَعۡدِلُوا۟ۚ ٱعۡدِلُوا۟ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِیرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”
(al-Ma’idah: 8)

Ia boleh dibuktikan antaranya menerusi kisah penghakiman Qadhi Syuraih ke atas tuntutan Sayiduna Ali bin Abu Talib terhadap seorang lelaki Yahudi dalam pertikaian baju besi. Keputusan tetap memihak kepada lelaki Yahudi tersebut disebabkan bukti mendakwa tidak menepati kehendak proses kehakiman yang ditetapkan oleh Qadhi. Inilah keadilan Islam tanpa diperngaruhi apa bangsa dan anutan mereka yang berada dalam proses kehakiman. Prinsip keadilan mutlak adalah menjaga hak mereka yang perlu diberikan hak serta amanah kepada ahlinya.

Firman Allah S.W.T:

۞ إِنَّ ٱللَّهَ یَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّوا۟ ٱلۡأَمَـٰنَـٰتِ إِلَىٰۤ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَیۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُوا۟ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا یَعِظُكُم بِهِۦۤۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِیعَۢا بَصِیرࣰا
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”
(An-Nisa’: 58)

Malahan rekod sejarah pentadbiran PAS khususnya di negeri Kelantan sepanjang 30 tahun menjadi model sebuah negeri yang ditadbir dengan panduan agama Islam tanpa melakukan sebarang kezaliman atau penindasan ke atas penganut selain Islam serta menjamin kebajikan semua rakyat negeri tersebut yang pelbagai kaum. Ini kerana perintah agama menyuruh umatnya menjadi suasana yang baik dan hati orang lain umumnya. Inilah amalan dan pegangan yang dibawa dalam dasar pentadbiran PAS sebagai bukti komitmen memelihara kewujudan masyarakat majmuk dalam pentadbiran.

Firman Allah S.W.T:

وَلَا تَسُبُّوا۟ ٱلَّذِینَ یَدۡعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ فَیَسُبُّوا۟ ٱللَّهَ عَدۡوَۢا بِغَیۡرِ عِلۡمࣲۗ
“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.”
(al-An’am: 108)

DUPP juga mendokong penegasan kenyataan Dato’ Seri Tuan Guru Presiden yang berulang kali menyebutkan perihal masyarakat majmuk yang mesti diambil kira dalam perlantikan kabinet bagi memastikan kestabilan politik serta mengharmonikan kewujudan masyarakat majmuk yang sedia ada di dalam negara Malaysia ini sejak awal kemerdekaannya terdahulu. Ini jelas menunjukkan komitmen PAS dalam Perikatan Nasional (PN) sebagai sebahagian kerajaan Pusat pada hari ini dalam mengharmonikan kewujudan masyarakat majmuk dengan menjamin hak dan kewujudan mereka.

Sekian.

YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Malaysia (Pasir Puteh) – HARAKAHDAILY 8/3/2020