PATRIOT lebih sudu dari kuah

SAYA percaya sanggahan Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT) terhadap kenyataan Presiden PAS tidak mewakili suara hati veteran polis dan tentera. Beliau harus peka cadangan Presiden PAS untuk mengusulkan undi percaya kepada Tun Dr Mahathir sebelum ini adalah sebagai satu sokongan untuk memastikan kepimpinan beliau diteruskan hingga akhir penggal.

Advertisement

Namun, disebabkan kegelojohan Pakatan Harapan yang mendesak Tun Dr Mahathir menetapkan tarikh peralihan kuasa telah menyebabkan beliau meletakkan jawatan pada 24 Februari lalu. Peletakan jawatan Tun Dr Mahathir menandakan berakhirnya kerajaan pimpinan PH. Justeru, bagaimana untuk membentuk sebuah kerajaan yang baharu?

Sepertimana yang kita maklum, proses pembentukan kerajaan baharu telah dilakukan dengan penuh kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong serta melibatkan semua ahli Parlimen termasuk pihak lain seperti Ketua Hakim Negara, Peguam Negara dan Majlis Raja-Raja. Malah, keputusan memilih Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Kelapan juga adalah berdasarkan proses demokratik yang telus.

Mengapa setelah proses yang adil dilakukan oleh YDPA, masih timbul lagi suara-suara sumbang mendesak undi tidak percaya terhadap PM? Bukankah ini masa terbaik untuk memberi ruang kepada kerajaan melaksanakan dasar dan program yang lebih baik demi kebaikan rakyat? Saya fikir PATRIOT sengaja mahu terus ber’politiking’ untuk kepentingan tertentu tanpa mempedulikan kestabilan politik negara.  

Sekian, terima kasih.

AHMAD MARZUK SHAARY
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa 
13 Rejab 1441 | 8 Mac 2020 – HARAKAHDAILY 8/3/2020