8 MP PAS dalam kabinet

PUTRAJAYA: Lapan Ahli Parlimen PAS tersenarai dalam pembentukan kabinet Malaysia yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin petang tadi.

Advertisement

Antara Ahli-ahli Parlimen yang tersenarai adalah Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Menteri Alam Sekitar, Ahli Parlimen Kota Bharu, Dato’ Takiyuddin Hassan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, bahagian Parlimen dan Hal Ehwal Undang-undang.

Manakala Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sebagai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi dan lima yang lain menjadi Timbalan Menteri.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary dilantik menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, dan Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia.

Selain itu, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff dilantik sebagai Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga, dan Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi sebagai Timbalan Menteri II Menteri Pertanian dan Industri Makanan dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim sebagai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Menurut Perdana Menteri, kesemua Ahli-ahli kabinet yang dilantik telah melepasi tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan juga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain itu, pengumuman Perdana Menteri hari ini turut menyenaraikan Dato’ Dr Zulkifli Al-Bakri, iaitu bekas Mufti Wilayah Persekutuan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama. – HARAKAHDAILY 9/3/2020