ACC Parit Buntar dilancar, dekati anak muda

PARIT BUNTAR: Pelbagai aktiviti anak muda tersedia di bawah Jabatan Seni, Budaya dan Sukan (DACS) melalui kelab-kelab berasaskan sukan dan kebudayaan di semua peringkat wajar dimanfaatkan.

Advertisement

Sebagaimana juga dalam Islam sangat menggalakkan amalan hidup sihat dengan mematuhi syariat dalam masa yang sama berkongsi ilmu berkaitan keindahan Islam melalui segala ruang minat dalam kehidupan.

Saranan Ketua Pengarah DACS Malaysia, Ustaz Hafez Sabri itu sebagai mengulas kejayaan DACS Parit Buntar menubuh dan melancarkan kelab berbasikal, Alternative Cycling Club (ACC) di Taman Desa Aman, di sini baru-baru ini.

Pelancaran kelab basikal ACC Parit Buntar disempurnakan Pengerusi ACC Negeri Perak, Dazrul Azri Zual Hasnan dengan sokongan dan kerjasama Ar-Raudhah Cycling Club (ARCC) serta turut diadakan hadiah cabutan bertuah.

Sebelum itu, seramai 95 opeserta dari pelbagai peringkat lapisan umur termasuk golongan wanita menyertai kayuhan berbasikal dengan jarak sejauh 10 kilometer yang diadakan bersempena majlis pelancaran tersebut.

Sementara itu, Pengarah  DACS Parit Buntar, Khairul Nizam Aris berkata, penubuhan kelab ACC bertujuan untuk menarik minat anak muda di dalam sukan berbasikal seterusnya terlibat dalam medan dakwah bagi menyatukan masyarakat setempat.

“Setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab yang besar kepada masyarakat. Gunakan segenap ruang kehidupan kita dimaknai dengan cara hidup Islam.

“Anak muda memiliki idea, tenaga dan keupayaan untuk saling berinteraksi antara satu sama lain dan semua peringkat umur mesti didekati agar masyarakat kekal sejahtera,” ujar Khairul Nizam.

Beliau turut berharap agar masyarakat khususnya anak muda lebih ramai lagi dapat melibatkan diri dalam setiap aktiviti anjuran kelab ACC nanti.

Turut hadir memberikan sokongan ialah Ketua Pemuda PAS Kawasan Parit Buntar, Nasarudin Hassan dan pimpinan Dewan Pemuda dan Ahli Jawatankuasa PAS Parit Buntar. – HARAKAHDAILY 9/3/2020