Kabinet fokus pelbagai kepakaran

PUTRAJAYA: Ekonomi global masa kini berada dalam situasi tidak menentu, malah perang perdagangan dan percaturan politik melibatkan kuasa-kuasa besar terus mewarnai lanskap sejagat, kata Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Muhyiddin Yassin.

Menurut beliau, dunia juga turut terkesan dengan wabak Coronavirus 2019 (COVID-19) yang impaknya turut dirasai oleh negara ini.

Katanya, beliau sedar dalam keadaan yang tidak menentu ini, rakyat amat berharap kepada kerajaan untuk membantu mencari jalan penyelesaian terhadap apa jua masalah yang dihadapi rakyat.

Jelasnya, menjadi tanggungjawab beliau sebagai Perdana Menteri untuk membentuk sebuah kabinet yang mampu menyelesaikan permasalahan rakyat dan membawa negara ke mercu kejayaan yang lebih gemilang.

Advertisement

Dalam pada itu katanya, beliau juga akan membentuk sebuah kabinet yang memberi tumpuan kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih berfokus dan berkesan, cekap, peduli rakyat, telus dan berintegriti dengan struktur yang lebih mantap.

“Barisan kabinet saya akan dianggotai oleh tokoh-tokoh politik yang berpengalaman, teknokrat dan individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tertentu.

“Untuk memastikan kabinet yang akan terbentuk adalah kabinet yang berintegriti, semua anggota kabinet yang akan saya umumkan sebentar lagi telah melepasi tapisan oleh pihak SPRM dan PDRM,” katanya dalam ucapan pengumuman pembetukan kabinet baharu kerajaan di Pejabat Perdana Menteri, di sini hari ini.

Selain itu, beliau juga akan memastikan kabinet di bawah pimpinannya adalah sebuah kabinet yang berfungsi (functional cabinet) serta dapat menyampaikan perkhidmatan yang lebih berfokus.

Justeru itu katanya, beliau akan melantik empat (4) orang Menteri Kanan (Senior Ministers) yang akan membantunya bagi menyelaras hal ehwal kabinet yang berkaitan dengan bidang-bidang ekonomi, keselamatan, pembangunan infrastruktur serta pendidikan dan sosial.

“Pelantikan Menteri-Menteri Kanan ini akan membolehkan isu-isu berbangkit antara kementerian dalam bidang-bidang yang saya sebutkan tadi dapat diselaras dengan lebih cekap dan berkesan.

“Ringkasnya, saya ingin membentuk sebuah kabinet yang benar-benar dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat ‘a cabinet that delivers’,” ujarnya.

Tambah beliau, Menteri-Menteri Kanan akan membantunya menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri termasuklah mempengerusikan mesyuarat kabinet di waktu ketiadaan beliau dalam negara.

Tambah Ahli Parlimen Pagoh itu, dengan adanya Menteri-Menteri Kanan berkenaan, maka tiada keperluan pada masa ini untuk seorang Timbalan Perdana Menteri dilantik.

Selain itu, bagi memenuhi keperluan semasa, beberapa kementerian akan distruktur semula, antaranya ialah Kementerian Pendidikan.

“Kementerian ini dalam struktur yang sedia ada dibebani dengan bidang tugas yang amat besar serta mencabar kerana ianya meliputi pendidikan dari peringkat pra-sekolah hinggalah ke pengajian tinggi.

“Oleh yang demikian, saya telah memutuskan untuk mewujudkan semula Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), di samping mengekalkan dan memperkasakan Kementerian Pendidikan,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 9/3/2020