Karnival BMF Teluk Intan martabatkan ekonomi Muslim

TELUK INTAN: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Negeri Perak telah menganjurkan Karnival Jualan Produk Muslim ‘Buy Muslim First’ (BMF) di Kompleks PAS Teluk Intan (KOMPASTI), Kampung Padang Tembak, di sini baru-baru ini.

Advertisement

Menurut Pengerusi UMMAH Perak, Drs IKhalil Idham Lim Abdullah,  karnival dengan kerjasama Lajnah Ekonomi PAS Kawasan Teluk Intan ini diadakan bagi mengketengahkan produk Muslim tempatan ke tengah masyarakat setempat.

“Karnival ini juga akan menjadi platform kepada usahawan Melayu Islam tempatan memperkenalkan keluaran mereka kepada masyarakat sekitar,” terang beliau.

Karnival ini dimulakan dengan acara KayuhanSantai BMF disertai seramai 40 peserta yang telah berkayuh sejauh 15 kilometer, manakala Lajnah Tarbiyah Muslimat PAS Teluk Intan telah mengadakan Zikir Munajat AKIFI diikuti dengan Kuliah Dhuha.

Perasmian karnival telah disempurnakan oleh Pemgerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa di mana telah menegaskan bahawa antara usaha  UMMAH ialah untuk menyatukan kuasa beli umat Islam negara ini serta berusaha meningkatkan ekonomi Bumiputera yang selama ini dikuasai bangsa lain.

Katanya, gerakan BMF yang diadakan seluruh negara telah menunjukkan kesan positif penerimaan umat Islam dan akan diperhebatkan kempen di negeri Johor dan Perak kerana sudah ada petunjuk kedua-dua negeri tersebut akan menyokong kempen BMF.

Terdapat 29 gerai jualan produk Muslim yang terdapat di situ antaranya ialah gerai barangan Ko-Hilal, gerai produk HPA, gerai produk kesihatan dan kecantikan juga gerai jualan pakaian dan makanan.

Karnival ini juga menyediakan kaunter pemeriksaan kesihatan,  derma darah dan pameran dari agensi Anti Dadah Kebangsaan, selain dimeriahkan lagi dengan pertandingan memasak berasaskan labu kuning dan bahan dari produk Muslim.

Acara dijalankan serentak dengan pertandingan mewarna kanak-kanak bawah 7 tahun, manakala pada sebelah malamnya pula, diadakan solat hajat dan kuliah Maghrib oleh Ustaz Halim Din, sebelum kemuncaknya Ceramah Muafakat Nasional.

Antara penceramah yang ditampilkan ialah ADUN Changkat Jering, Ahmad Saudi Mohamad Daud dan ADUN Changkat Jong, Dato’ Azhar Jamaludin serta Yang DiOertua PAS Teluk Intan, Ustan Ismail Che Nik dan Drs Khalil Idham Lim. – HARAKAHDAILY 9/3/2020