‘Mahrajan Riyadhi’ medan asah bakat anak-anak

TANJONG MALIM: Pendidikan berteras Islam kini menjadi pilihan masyarakat dibuktikan melalui peningkatan bilangan murid mendaftar di sekolah-sekolah aliran agama yang terus subur membangun khususnya di negeri Perak.

Advertisement

Kini Perak mempunyai 21 SRITI dan 2 SMITI yang telah memulakan operasi tahun pertama di Muallim dan Seri Iskandar di mana kejayaan membangunkannya di bawah seliaan Dewan Pemuda membuktikan kesungguhan PAS dalam melahirkan generasi masa hadapan berkualiti melalui pendidikan.

“Banyak program diatur dan dilaksanakan melalui platform sekolah sepertimana hari ini, dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara ibu bapa dan guru,” ucap Timbalan Pengarah SRITI Negeri Perak, Ustaz Azuan Ali Aziz.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Mahrajan Riyadhi atau Kejohanan Sukan Tahunan Kali Ke-6 melibatkan SRITI Muallim dan SMITI Muallim di Padang Kolej Vokasional Slim River, di sini baru-baru ini.

Pelbagai acara dipertandingkan dalam Mahrajan Riyadhi kali ini termasuk sukaneka untuk murid tahap satu dan dua disamping acara balapan yang melibatkan murid SRITI, manakala acara padang dan memanah untuk pelajar SMITI.

Dalam pada itu, bersempena Mahrajan Riyadhi pada kali ini yang bertemakan “Solidariti Untuk Muslim Sedunia” turut menzahirkan sokongan kepada masyarakat Muslim di Kashmir, Uyghur, Palestin dan Rohingya.

Menurut Guru Besar SRITI Muallim, Ustaz Sayed Zamzuri Sayed Nengah melahirkan rasa syukur atas kelancaran penganjuran Mahrajan Riyadhi di mana menjadi platform terbaik untuk mengasah bakat murid-murid dalam bidang sukan.

Muhammad Afifuddin dan Auni Syamimi Hani dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati SRITI Muallim manakala Johan Keseluruhan Mahrajan Riyadhi kali ini disandang oleh Pasukan Uyghur (Rumah Biru).

Turut hadir menjayakan program, Pengerusi Jemaah Ibu Bapa dan Guru (JIBG) SRITI Muallim, Dr Khaled Mat dan Ketua Pemuda PAS Kawasan Tanjong Malim, Ustaz Zulfadli Zainal serta para ibu bapa. – HARAKAHDAILY 9/3/2020