Malaysia tidak perlukan DAP

DAP BUKAN sekadar perlu dicantas tapi perlu dicabut hingga ke akar umbinya. Perdu DAP tidak patut ada dalam kebun Tanah Melayu ini. Bukan kerana kita kaum yang tidak boleh bersama orang lain, tapi orang lain itu biadab apabila kita memberi sedikit tempat kepadanya. Tetamu yang lupa diri tidak layak terus berada di ruang tamu ini. Sesungguhnya kita boleh menerima sesiapa sahaja sebagai tetamu, tetapi ada adab dan peraturannya. DAP bukan tetamu yang baik.

2 tahun lebih kuasa diberikan oleh rakyat kepada DAP. DAP telah mempergunakan kuasa itu sepenuhnya untuk mencorak Malaysia sebagai sebuah negara DAP. Hal ini patut diambil iktibar oleh Melayu Muslim. Jangan pula anak-anak tuan rumah sibuk nak sambut tetamu biadab dan sibuk pula nak halau ayah, mak dan adik beradik lain keluar dari rumah. Jangan jadi anak-anak derhaka dan tali barut DAP.

Advertisement

Bila kita beri peringatan kepada ahli-ahli PAN dan PKR yang berbangsa Melayu dan beragama Islam agar mereka jangan tunduk kepada agenda DAP. Namun mereka membantah dengan mengatakan mereka tidak ikut DAP. Mereka hanya ikut dan patuh kepada pemimpin PAN dan PKR yang juga Melayu Muslim. Memang betul mereka ikut dan taat kepada pemimpin PAN dan PKR. Tapi perlu disedari bahawa pemimpin PAN dan PKR itu adalah pengikut setia DAP. Jangan minta saya buktikan pemimpin PAN dan PKR itu pengikut setia DAP, kerana nanti terlalu banyak pula buktinya.

Kini peralihan kerajaan telah berlaku selepas pergelutan dalam PH dan Tun terpaksa meletak jawatan. Jangan nak kata lagi peralihan itu tidak sah atau rampas kuasa. Mengambil alih kuasa ketika negara tidak dimiliki oleh mana-mana PM bukan dinamakan rampas kuasa. Pemimpin Melayu Muslim tidak perlu menjadi khadam setia kepada DAP. Sehingga bersusah payah pula bergelut dengan istana sekadar nak serah kuasa kembali kepada DAP. Kalaupun nak jadi khadam cukuplah ketika tuan kamu itu menang. Tapi kalau tuan dah kalah tersungkur pun kamu masih nak jadi khadam maka itu namanya khadam bodoh. Kalau setakat jadi khadam pun dah hina inikan pula jadi khadam bodoh. Bertaubat dan insaflah…

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 9/3/2020