Melesetnya tuduhan pemikir Liberal

INGATKAH kita sebelum ini bagaimana sekumpulan pemikir Liberal yang mendakwa amalan sunat seperti solat berjemaah, Solat Tahajud dan Solat Hajat menjadi punca kemerosotan pencapaian pelajar?

Nah! Keputusan SPM hari ini membuktikan dakwaan tersebut meleset sama sekali. Beberapa wartawan akhbar telah menemu ramah pelajar cemerlang SPM dari seluruh Malaysia. Ternyata amalan ibadah tersebut turut menjadi tonggak kejayaan para pelajar.

Perkara ini sekali gus menafikan dakwaan Liberal yang menyatakan amalan tersebut menyebabkan kemerosotan pencapaian pelajar. Menurut Berita Harian, sifat mengutamakan solat di awal waktu antara kunci kejayaan Nur Amieysha Zainuddin, 18, untuk terus mengekalkan keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan memperoleh 9A.

Advertisement

Menurut Sinar Harian pula, Eusouf Faisal Mohd Salehuddin dari Pahang yang meraih 7A+, 4A (11A) menjelaskan bahawa salah satu resepi kejayaan beliau adalah: “Saya juga mengamalkan solat Subuh berjemaah.”

Sementara itu, Harian Metro telah menemu ramah Nurmiza Masri, pelajar cemerlang dari Melaka yang mendapat 9A+. Ketika ditemu ramah, beliau berkata: “Hubungan dengan Allah dan ibu bapa juga perlu dijaga untuk mendapatkan keberkatan bagi memudahkan urusan kita.”

Perhatikan semua pelajar cemerlang yang ditemu ramah ini rata-ratanya mengesahkan bahawa amalan ibadah membantu membina sosok spiritual pelajar sekali gus menjadi salah satu tonggak kejayaan.

Kita bukan sahaja ingin melahirkan pelajar yang cemerlang dari aspek akademiknya sahaja. Kita juga turut ingin membina modal insan yang faham akan kepentingan peranan manusia sebagai khalifah yang membimbing manusia kepada Allah.

Jauhi pemikiran Liberal yang cuba memisahkan manusia dari agama dalam menguruskan kehidupan. Islam adalah cara hidup yang membimbing manusia mengenal Allah dalam mengurus-tadbir alam ini. Tiada pemisahan antara urusan dunia dan akhirat.

Semoga Allah membimbing kita.

DR. AHMAD SANUSI AZMI – HARAKAHDAILY 9/3/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.