Mufti sertai barisan Kabinet baharu

ASPIRASI rakyat menjadi tunggak Kabinet baharu Malaysia di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tokoh luar jangka tiba-tiba muncul sebagai Menteri. Tokoh agama yang warak dan zuhud dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama.

Mufti Wilayah Persekutuan Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri diumumkan menggantikan Dato’ Dr Mujahid Yusof.

Sebelum itu, Perdana Menteri memberitahu belum wujud keperluan sekarang untuk melantik Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Teka teki siapa TPM sejak seminggu lalu berakhir hari ini. Malah pernah ada cadangan melantik tiga TPM sebagai mewakili Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Ia seakan-akan menjadi realiti hari ini.

Kata Perdana Menteri tugas berkenaan akan dibantu Menteri-Menteri Kanan.

Advertisement

“Menteri Kanan yang dilantik membantu saya menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri termasuk mempengerusikan mesyuarat Kabinet semasa saya berada di dalam negara,” katanya ketika mengumumkan senarai kabinet lewat petang tadi.

Menteri Kanan terbabit iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali (mewakili bekas PKR), Menteri Pertahanan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob (Umno).

Menteri Kerja Raya Dato’ Sri Fadillah Yusof (GPS – Sarawak). Selain itu Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin (Bersatu). Ini bermakna bekas PKR, Umno, Bersatu dan GPS berada pada senarai Menteri Kanan.

Sejarah 1973 juga berulang apabila pemimpin PAS mengisi semula saf Kabinet. Ketika itu wujud kerajaan campuran antara PAS, Perikatan dan Gerakan sehingga muncul BN pada 1974.

Tiga pemimpin PAS dilantik Menteri iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Dato’ Takiyuddin Hassan.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man pula dilantik sebagai Menteri Alam Sekitar.

Selain itu Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Bagi kuota Timbalan Menteri pula Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff sebagai Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga.

Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim sebagai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Selain itu Ahli Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Manakala Ahli Parlimen Pendang, Awang Salahuddin Hashim sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia.

Mengulas perkembangan itu Menteri Besar Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob merakam ucapan tahniah kepada Perdana Menteri di atas perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi melantik jemaah Menteri.

“Saya berharap hubungan negeri dan pusat diperkukuhkan selaras semangat Persekutuan demi kesejahteraan rakyat,” katanya di Kota Bharu.

M FAQIH – HARAKAHDAILY 9/3/2020