Pilihan Raya Presiden: Kapitalis bakal dicabar?

PILIHAN Raya Presiden

(1) Parti Demokrat bakal berhadapan dengan Republikan seperti biasa dalam Pilihan Raya Presiden Amerika yang dijadualkan bakal diadakan hujung tahun ini.

Republikan dijangka mengekalkan Trump untuk bertanding atas kapasiti itu. Cumanya Parti Demokrat masih lagi bersaing antara satu sama lain.

(2) Parti Demokrat pada asalnya memiliki beberapa calon yang diketengahkan untuk melawan Trump. Kalau dahulu, jaguhnya ialah Hillary Clinton.

Kali ini, antara calon-calonnya seperti Bloomberg, Warren, Tulsi Galbard, Biden dan Sanders. Yang sedang bersaing pada hari ini ialah Biden dan Sanders.

(3) Manakala selebihnya kalah dalam pemilihan. Tulsi Galbard seorang wanita muda yang agak lantang mengkritik Trump dalam isu keganasan, mendapat undi yang rendah.

Tauke-tauke besar seperti Bloomberg dan Warren juga menerima nasib yang sama. Sebab itulah persaingan tertumpu kepada Sanders dan Biden.

Advertisement

(4) Ini menjadikan Pilihan Raya Presiden Amerika semakin sengit khususnya antara calon-calon dalam Demokrat. Antaranya pengumuman pada 19 Februari 2020 oleh Barnie Sanders.

Beliau menyatakan bahawa beliau akan mendapatkan pencalonan Parti Demokrat untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden Amerika tahun ini.

Kapitalism vs Sosialism

(1) Artikel kali ini bukanlah bertujuan untuk memfokus secara khusus kepada ‘perjuangan’ Sanders atau Biden itu. Akan tetapi yang perlu diberi perhatian ialah ke’Sosialis’an Sanders.

Beliau mengakui sebagai seorang Sosialis Demokratik. Membawa arus yang berbeza dengan Kapitalism yang selama ini bermaharajalela dengan negara itu.

(2) Walaupun Amerika terkenal dengan Kapitalisnya, namun rupa-rupanya ada sebahagian negerinya yang agak mesra dengan Sosialis seperti California.

Kita juga perlu faham sejarah panjang pertembungan antara Sosialis dan Kapitalis yang pernah saya tulis dalam banyak artikel sebelum sebelum ini.

(3) Di Amerika sepanjang sejarahnya bukan setakat memasarkan ideologi Kapitalis, bahkan menjelmakan hero-hero Kapitalis yang dilihat menguasai negara itu.

Contohnya Donald Trump, dan yang sedang gigih berkempen sekarang ini iaitu Bloomberg yang merupakan seorang bilionair yang sangat meyakini mampu mengalahkan Trump.

(4) Walaupun Bloomberg kalah awal, namun fenomena ke’Kapitalis’an itu masih berakar. Justeru, sekiranya Sanders menang sebagai calon parti Demokrat, bermakna satu pertembungan besar.

Ada rasional juga, tatkala Amerika sedang subur penentangan terhadap golongan 1 peratus yang memiliki kekayaan yang luar biasa, sebagai tanda berakarnya sistem Kapitalism.

Amerika dan kemiskinan

(1) Sejarah kerencaman ekonomi Amerika bukanlah perkara baru, bahkan Amerika memang terkenal dengan kadar kemiskinan yang teruk dalam krisis ekonomi yang dahsyat.

Pada 2018, kira kira 553,000 gelandangan terdapat di Amerika, dengan kiraan 0.17 peratus. Angka paling ramai di California, New York, Florida, Washington, Oregon dan Texas.

(2) Sejak 2006 khususnya kadar kemiskinan berada di kadar semakin menaik, kecuali pada 2013. Pada 2012 berada di tahap 15 peratus warga Amerika berada di paras kemiskinan. [1]

Pada 2013 menurun sedikit, iaitu 14.5 peratus. Kemudian pada 2014 meningkat menjadi 14.8 peratus. Angka yang sangat tinggi jika dibandingkan dengan jutawan-jutawan Kapitalis kelahiran negara itu.

(3) Amerika yang dianggap sebagai negara kaya (kononnya) dan juga model Kapitalism, hakikat dianggap oleh PBB sebagai negara yang mempunyai masalah kemiskinan yang tinggi. [2]

PBB juga menyifatkan bahawa Amerika walaupun mempunyai ramai orang miskin, tetapi kekayaan orang-orang kaya mereka bertambah. Bermaksud jurang semakin besar.

(4) Antara yang diberitakan tentang realiti kemiskinan tersebut;

“Sementara manfaat kebajikan dan akses kepada insurans kesihatan dipotong, pembaharuan cukai Trump pula membolehkan syarikat mega yang kaya memperoleh laba yang besar sekali gus meluaskan jurang ketidaksamarataan.”

Kenyataan PBB

(1) Apa yang disebut tadi, adalah kesan daripada Kapitalism. Yang lebih mementingkan poket para pemodal, untuk lebih membesarkan empayar kekayaannya, manakala yang miskin akan terus terhimpit.

Hampir 41 juta orang di AS hidup dalam kemiskinan, dengan 18.5 juta daripadanya dalam kategori miskin teruk. Setiap tiga orang miskin, seorang daripadanya ialah kanak-kanak.

(2) Philip Alston, pegawai PBB merumuskan bahawa Amerika mempunyai kadar kemiskinan belia paling tinggi dalam kalangan negara-negara industri.

Berita yang bertarikh Jun 2018 ini cuba menggambarkan bagaimana kemiskinan di era Trump semakin menghimpit. Kita boleh fahami puncanya daripada amalan Kapitalis itu sendiri.

(3) Kenyataan Jurucakap Khas Hak Asasi Manusia PBB yang mengesahkan isu kemiskinan di Amerika itu, dibuat di Geneva, Switzerland pada Jun 2018. [3]

Alston turut menyuarakan rasa kesalnya dalam isu penarikan diri Amerika dari Majlis Hak Asasi Manusia PBB, sambil menambah majlis itu akan memberi peluang kepada negara itu untuk menyatakan pendapat mereka.

Tambahnya lagi, dasar baharu pembaikan cukai dan kebajikan Donlad Trump kini akan membawa kepada akibat buruk dan meluaskan lagi jurang antara orang kaya dan miskin.

(4) Maka, kemunculan Sanders pada hari ini jangan dipandang sebelah mata. Gagasan yang dibawa olehnya mungkin mampu menggugat Trump yang agak kerap berpopulis.

Mengitar semula pertembungan

(1) Walau bagaimanapun persaingan mereka, masing-masing hanya mengulangi sejarah kehancuran. Kapitalism pernah cuba dirobohkan oleh Karl Marx di zamannya, lalu beliau mengasaskan Sosialism.

Sosialism pula boleh dikatakan pernah roboh seiring dengan kejatuhan Soviet 1991. Masing-masing cuba mengemukakan penyelesaian bukan dengan cara Islam.

(2) Terbukti tak berhasil. Mereka hanya mampu mengitar semula ideologi-ideologi lama dan dipersembahkan dengan cara baru. Terbukti tak berjaya, dan hari ini ia sekali lagi berkitar.

Kapitalism menyebabkan orang kaya semakin kaya dan orang miskin semakin miskin. Manakala Sosialism menyebabkan tiada siapa boleh kaya.

(3) Sekiranya mereka berhujah negara Islam juga ramai orang miskin, ketahuilah bahawa negara itu tidak melaksanakan ekonomi Islam. Pembesar negara memonopoli harta negara.

Menyebabkan kekayaan negara terkumpul di satu tempat, dan hanya boleh dimanfaatkan oleh beberapa orang si kaya untuk meluaskan empayar businessnya.

(4) Realiti ini yang dipanggil sebagai golongan 1 peratus yang sedang subur dipertikaikan di mana-mana negara Kapitalis. Iaitu 1 peratus daripada rakyat negara itu, yang memiliki kekayaan yang luar biasa.

Kekayaannya berpusing-pusing sesama mereka dan tidak dicairkan kepada 99 peratus lagi rakyat. Sepertimana firman Allah S.W.T menggesa supaya dihapuskan sistem itu.

Artikel-artikel saya yang berkaitan dengan ekonomi Kapitalis;

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3095730870468652&id=100000953077134

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3045978312110575&id=100000953077134

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3066792076695865&id=100000953077134

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3053805054661234&id=100000953077134

Pautan;

[1] https://www.google.com/amp/s/amp.kompas.com/internasional/read/2015/09/17/08085501/Lebih.dari.46.Juta.Warga.AS.Hidup.di.Bawah.Garis.Kemiskinan

[2] https://www.google.com/amp/www.astroawani.com/berita-dunia/rakyat-miskin-semakin-merana-di-bawah-pentadbiran-trump-177169%3famp=1

[3] https://www.google.com/amp/www.astroawani.com/berita-dunia/18-juta-penduduk-miskin-tegar-di-amerika-syarikat-178626%3famp=1

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 9/3/2020