Sekolah vernakular bercanggah Perlembagaan

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Dato’ Indera Mohd Sofian Abd Razak hari ini menetapkan 21 Mei depan untuk mendengar hujah pencelahan bagi kes saman mengenai mencabar keabsahan sekolah vernakular di Malaysia.

Seramai 14 orang memohon untuk menjadi pencelah selepas tindakan saman dimulakan oleh plaintif iaitu Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM).

14 pencelah iaitu Gerakan, MCA, MIC, Majlis Bahasa Cina Malaysia, Persatuan Tamil Neri, Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil, Jiao Zong.

Dong Zong, Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa Kuala Lumpur, Gabungan Penulis Nasional, Persatuan Thamizar Malaysia, Persatuan Tamilar Thirunal Perak, Persatuan Gabungan Kebajikan Guru-Guru Bersara Sekolah Tamil Malaysia dan Parti Putra.

Advertisement

Tahun lalu, GPMS dan MAPPIM menyaman defenden Menteri Pendidikan ketika itu Dr Maszlee Malik dan kerajaan Malaysia untuk mengisytiharkan kewujudan sekolah vernakular yang menggunakan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar adalah bercanggah dengan Perkara 152 (1).

Defenden diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan Narkunavathy Sundareson manakala plaintif diwakili oleh Peguam Haniff Khatri, Malcolm Fernandez, Abi Mursyidin dan Aidil Khalid.

Dalam kenyataan peguam cara plaintif Tetuan Amelda Fuad Abi & Aidil berkata, anak guamnya mengambil pendirian tidak membantah pihak tersebut sebagai pencelah dan bukan dinamakan sebagai defendan dalam tindakan ini.

Mahkamah juga telah dimaklumkan bahawa dua lagi saman kes yang sama turut difailkan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (I-Guru).

Kata Tetuan Ameldan Fuad Abi & Aidil, anak guamnya menyokong segala usaha meningkatkan penguasaan bahasa ketiga melalui pengajaran dan pembelajaran bahasa-bahasa tersebut sebagai satu mata pelajaran.

Namun, menolak bahasa ketiga sebagai bahasa pengantar utama di mana-mana institusi pendidikan awam yang menerima dana awam.

Menurutnya, hal tersebut akan bercanggah dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. – HARAKAHDAILY 9/3/2020