Temasya sukan sulung SRITI Darul Muttaqin

KAMPAR: Temasya Sukan SRITI Darul Muttaqin 2020 telah berlangsung buat julung kalinya dirasmikan oleh Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Negeri Perak, Dr Khaled Mat di Padang Awam Kampung Changkat Baru, di sini baru-baru ini.

Advertisement

Beliau dalam ucapan perasmiannya menekankan peri pentingnya pendidikan jasmani yang merupakan antara sunnah Rasulullah S.A.W perlu diamalkan oleh umat Islam.

Beliau memberikan contoh iaitu Rasullullah juga merupakan penggusti yang hebat dan pernah mengalahkan penggusti terbaik pada zaman baginda.

Beliau turut mengingatkan bahawa sukan yang dititik-beratkan oleh baginda Rasulullah dalam hadisnya iaitu menunggang kuda dan berenang telah dimonopoli oleh orang bukan Islam dan seharusnya diambil berat oleh umat Islam.

“Islam memerlukan umat yang kuat dan sihat dari segi fizikal, mental dan rohani dalam menghadapi mehnah dan tribulasi dunia yang semakin mencabar ini,” ujarnya.

Temasya Sukan SRITI Darul Muttaqin 2020 telah menyaksikan Rumah Kuning muncul sebagai johan keseluruhan temasya sukan.

Muhammad Nur Amzar Mohamad Firdaus dan Raudhatul Awlia Muhammad Hafizi masing-masing telah dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati Temasya Sukan SRITI.

Turut hadir sama memeriahkan lagi temasya sukan tersebut ialah Ketua Pemuda PAS Kampar, Mohd Shahrizan Ahmad Fuat dan Mudir SRITI Darul Muttaqin, Ustaz Hanif Abdullah dan barisan Ahli Lembaga Pengurusan SRITI Darul Muttaqin. – HARAKAHDAILY 9/3/2020