Awas! Benih DAP di tapak semaian PAN

MELIHAT kesungguhan PAN mempertahankan DAP selepas kejatuhan PH ini hati saya terpandang sesuatu. Apakah DAP akan terus menggunakan PAN sebagai tapak semaian baru Ideologi DAP. Maaf jika itu adalah su’u Dzhon saya semata-mata. Tapi tidak salah rasanya jika saya melontarnya di sini agar kita jangan lupa dengan sifat hazar iaitu berwaspada mesti sentiasa ada.

DAP yang menggalas ideologi Liberal dan bebas berfikir tanpa sempadan akan mudah mempengaruhi golongan yang tandus pendidikan agama. PAN adalah tapak semaian yang paling sesuai untuk DAP tumbuh kembali khususnya menarik simpati bangsa Melayu. Untuk itu Kerajaan Malaysia Sejahtera perlu memberikan fokus yang serius ke arah membina generasi celik agama dan sekali gus memahami tipu muslihat ideologi Liberal Komunisme. Perlu kita ingat bahawa DAP tidak akan berputus asa dan mereka akan mempelajari sesuatu dari kejatuhan yang mereka alami.

Advertisement

Suka juga saya mengingatkan bahawa Muafakat Nasional PAS Umno jangan dibiarkan hambar dek kerana gabungan dalam Perikatan Nasional yang baru dibentuk ini. PAS dan Umno atau MN perlu menjadi sebatang tubuh di tengah-tengah komponen PN. Apa pun keadaan MN tidak boleh berpisah apatah lagi bertelagah. Siapa yang mahu menerima PAS dia mesti menerima sama Umno. Siapa yang mahu menerima Umno dia mesti menerima sama PAS. MN dibentuk atas nama persaudaraan demi Islam.

Beberapa hari lepas saya menulis mengenai Malaysia tidak memerlukan DAP. Maka itu juga bermakna Malaysia tidak memerlukan PAN. Cukuplah tempoh 22 bulan itu mengajar kita supaya mengajar DAP dan PAN. Supaya mereka semakin faham siapa rakyat Melayu Muslim yang ada di Malaysia ini. Rakyat yang tidak mudah ditipu dan dipermainkan. Hari ini PH sudah jatuh. Diganti dengan PN. Maka yang mengganti ini hendaklah berusaha agar lebih baik dari yang diganti.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 10/3/2020