Islam dan wanita

KEJADIAN wanita sebagai pasangan bagi lelaki, wajib bergaul dengan baik

Wanita pertama yang diciptakan oleh Allah S.W.T ialah Hawa. Diciptakan dari tulang rusuk kiri Nabi Adam sebagaimana dalam riwayat sahih. Allah menciptakan Hawa sebagai pasangan bagi Adam bagi salah satu tujuannya ialah membiakkan zuriat sebagai kelangsungan generasi manusia di atas muka bumi ini.

Advertisement

Firman Allah S.W.T:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُوا۟ رَبَّكُمُ ٱلَّذِی خَلَقَكُم مِّن نَّفۡسࣲ وَ ٰ⁠حِدَةࣲ وَخَلَقَ مِنۡهَا زَوۡجَهَا وَبَثَّ مِنۡهُمَا رِجَالࣰا كَثِیرࣰا وَنِسَاۤءࣰۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ٱلَّذِی تَسَاۤءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَیۡكُمۡ رَقِیبࣰا

“Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.”

[An-Nisa’: 1]

Justeru, manusia hidup secara berpasangan secara fitrahnya lelaki dan wanita. Hubungan yang sah adalah menerusi ikatan perkahwinan menurut hukum syarak. Dalam ilmu disiplin Maqasid Syariah menyebutkan asas perkahwinan ini ialah:

(1) Janibul wujud جانب الوجود : meneruskan kelangsungan generasi manusia.
(2) Janinul adam جانب العدم : memelihara nasab keturunan.

Justeru, dalam rumah tangga hidup berpasangan, berkelakuan baik dan menggembirakan hati wanita merupakan satu kewajipan yang dikira sebahagian dari nafkah batin yang dipertanggungjawab atas suaminya.

Firman Allah S.W.T:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ فَإِن كَرِهۡتُمُوهُنَّ فَعَسَىٰۤ أَن تَكۡرَهُوا۟ شَیۡـࣰٔا وَیَجۡعَلَ ٱللَّهُ فِیهِ خَیۡرࣰا كَثِیرࣰا

“Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).”

[An-Nisa’: 19]

Wanita dan lelaki saling membantu, masing-masing menerima ganjaran

Hidup manusia yang berbeza gender dan jantina secara lumrah bukanlah untuk bersaing sehingga menindas gender yang berlainan. Bukanlah juga untuk bermusuhan atau penganiayaan. Tetapi untuk saling melengkapi dan membantu antara satu sama lain.

Firman Allah S.W.T:

وَٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَٱلۡمُؤۡمِنَـٰتُ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِیَاۤءُ بَعۡضࣲۚ یَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَیَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَیُقِیمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَیُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَیُطِیعُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥۤۚ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ سَیَرۡحَمُهُمُ ٱللَّهُۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِیزٌ حَكِیمࣱ

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

[At-Tawbah: 71]

Sehubungan itu, doktrin Feminisme Barat selalu meracuni pemikiran manusia khusus kalangan wanita seakan doktrin ini mengangkat hak wanita disebabkan ajaran Islam menindas hak kaum wanita kononnya. Mereka selalu menyerang pada sudut perbezaan seperti:

(1) Pemakaian wanita yang menutupi seluruh anggota.
(2) Hak cerai pada suami.
(3) Ketidaksamarataan pada pembahagian pusaka antara lelaki dan perempuan.
(4) Soal ibadah yang meletakkan perintah khas pada lelaki seperti khutbah, imam solat berjemaah yang menghimpunkan lelaki dan perempuan dan sebagainya.

Justeru, asasnya wanita dan lelaki keduanya hamba Allah dan masing-masing dibalas ganjaran atas amalan apa yang mereka lakukan. Yang taat mendapat pahala, yang melakukan maksiat mendapat dosa.

Firman Allah S.W.T:

(فَٱسۡتَجَابَ لَهُمۡ رَبُّهُمۡ أَنِّی لَاۤ أُضِیعُ عَمَلَ عَـٰمِلࣲ مِّنكُم مِّن ذَكَرٍ أَوۡ أُنثَىٰۖ بَعۡضُكُم مِّنۢ بَعۡضࣲۖ
.
“Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya): “Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain.”

[Ali Imran: 195]

Adapun pada sebahagian ruang lingkup yang berbeza menurut ketentuan hukum syariat maka ia adalah:

(1) Melihat pengabdian diri terhadap keimanan kepada Allah dan patuh pada arahan-Nya.
(2) Bersesuaian dengan fitrah yang diciptakan oleh Allah atas sifat-Nya yang Maha Kaya lagi Maha Mengetahui.
(3) Sistem kejadian kehidupan yang lumrah bagi mewujudkan pasangan dan perasaan saling bantu membantu antara satu sama lain.

Islam mengangkat martabat wanita, sedangkan jahiliyyah menindas

Berbeza dengan zaman jahiliyyah dan juga ideologi Barat, wanita dilihat sebagai alat pemuas nafsu sahaja. Mereka ditindas dan hak mereka dieksploitasi demi kepuasan nafsu dan keuntungan dunia. Malah di zaman jahiliyyah martabat wanita direndahkan kerana dianggap membawa aib pada keluarga.

Islam mengangkat darjat wanita. Dipelihara maruahnya dengan mensyariatkan pemakaian menutupi aurat sepenuhnya bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan jahat atas diri wanita.

Malah diperintahkan kaum lelaki termasuk wanita untuk saling tunduk pandangan agar mencegah dari pandangan jahat serta susulan tindakan yang tidak baik.

Firman Allah S.W.T:

قُل لِّلۡمُؤۡمِنِینَ یَغُضُّوا۟ مِنۡ أَبۡصَـٰرِهِمۡ وَیَحۡفَظُوا۟ فُرُوجَهُمۡۚ ذَ ٰ⁠لِكَ أَزۡكَىٰ لَهُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِیرُۢ بِمَا یَصۡنَعُونَ * وَقُل لِّلۡمُؤۡمِنَـٰتِ یَغۡضُضۡنَ مِنۡ أَبۡصَـٰرِهِنَّ وَیَحۡفَظۡنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا یُبۡدِینَ زِینَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنۡهَاۖ

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.”

[An-Nur: 30 – 31]

Di zaman jahiliyyah, wanita tidak diberikan harta pusaka peninggalan suaminya yang meninggal dunia. Ini kerana wanita di zaman itu dianggap tidak membantu apa-apa dalam peperangan dan kebanggaan kabilah. Lalu dibiarkan tanpa hak yang boleh mereka perolehi. Namun dalam syariat Islam, isteri tetap mendapat hak mereka selepas kematian suaminya.

Firman Allah S.W.T:

… وَلَهُنَّ ٱلرُّبُعُ مِمَّا تَرَكۡتُمۡ إِن لَّمۡ یَكُن لَّكُمۡ وَلَدࣱۚ فَإِن كَانَ لَكُمۡ وَلَدࣱ فَلَهُنَّ ٱلثُّمُنُ مِمَّا تَرَكۡتُمۚ مِّنۢ بَعۡدِ وَصِیَّةࣲ تُوصُونَ بِهَاۤ أَوۡ دَیۡنࣲۗ

“Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula satu perempat dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang kamu.”

[An-Nisa’: 12]

Wanita sebagai ibu, haknya 3 kali lebih diberi keutamaan

Wanita yang melahirkan anak, maka haknya 3 kali lebih diberikan penumpuan yang mesti dijaga oleh seorang anak tersebut. Betapa besar jasa dan pengorbanan seorang ibu tersebut berbanding seorang ayah yang dimuliakan di dalam Islam. Ini disebutkan oleh Ibn Abbas dalam menafsirkan maksud bagi وهنا على وهن (kepayahan demi kepayahan) iaitu:

(1) Kepayahan semasa mengandung.
(2) Kepayahan semasa melahirkan.
(3) Kepayahan semasa menyusukan.

Firman Allah S.W.T:

وَوَصَّیۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ بِوَ ٰ⁠لِدَیۡهِ حَمَلَتۡهُ أُمُّهُۥ وَهۡنًا عَلَىٰ وَهۡنࣲ وَفِصَـٰلُهُۥ فِی عَامَیۡنِ أَنِ ٱشۡكُرۡ لِی وَلِوَ ٰ⁠لِدَیۡكَ إِلَیَّ ٱلۡمَصِیرُ

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”

[Luqman: 14]

Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W:

’Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepadanya?’’. Maka Rasulullah S.A.W. menjawab:

أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أَبُوكَ

“Ibu kamu (adalah manusia yang paling berhak untuk kamu berbuat baik kepadanya), kemudian ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian bapa kamu.”

(Riwayat Muslim)

Peranan wanita diiktiraf dalam bekerja, terlibat jihad serta politik

Islam tidak pernah mengesampingkan peranan wanita dalam semua lapangan dunia ini. Selagi mana menjaga batasan dan peraturan syariah, wanita boleh menyumbang kemahiran dan kepakaran yang dimiliki. Malahan wanita juga mempunyai asas penting dalam pembentukan keluarga, rumah tangga dan didikan anak-anak.

Ini asas yang mengiktiraf keberadaan dan kehebatan wanita dalam kemahiran dan kelebihan emosi yang mereka miliki. Sebab itu setiap manusia ada tanggungjawab mereka. Asasnya sebagaimana yang diperjelaskan oleh Baginda S.A.W seperti hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas seperti berikut:

كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مسؤول عن رَعِيَّتِهِ الْإِمَامُ رَاعٍ ومسؤول عن رَعِيَّتِهِ وَالرَّجُلُ رَاعٍ في أَهْلِهِ وهو مسؤول عن رَعِيَّتِهِ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ في بَيْتِ زَوْجِهَا ومسؤولة عن رَعِيَّتِهَا وَالْخَادِمُ رَاعٍ في مَالِ سَيِّدِهِ ومسؤول عن رَعِيَّتِهِ

“Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang kamu pimpin. Pemimpin bertanggungjawab ke atas rakyatnya. Lelaki (suami) bertanggungjawab ke atas ahlinya (keluarga). Wanita (isteri) bertanggungjawab ke atas rumah suaminya (menjaga harta benda dan situasi rumah). Khadam bertanggungjawab ke atas harta tuannya dan apa yang dipertanggungjawabkan ke atasnya.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Peranan wanita di luar rumah juga tidak disekat. Islam menitik beratkan keselamatan nyawa, maruah dan imej wanita disebabkan itu, jika menjaga syarat dan tiada mudarat, wanita bekerja di luar rumah tidak dihalang.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

لاتمنعوا إماء الله مساجد الله ولكن ليخرجن وهن تفلات

“Janganlah kalian menghalangi kaum wanita itu pergi ke masjid-masjid Allah, akan tetapi hendaklah mereka itu pergi tanpa memakai harum-haruman.”

(Riwayat Abu Daud)

Walaupun perbincangan afdhal wanita itu urusan ibadah dan dunianya di dalam rumah adalah ketika:

(1) Urusan di luar boleh menimbulkan fitnah.
(2) Tiada urusan luar ketika itu maka baik duduk di dalam rumah.
(3) Jika wujud peranan di luar maka tidak dihalang selagi mana menjaga batasan.

Justeru asas peranan wanita di luar dalam menjaga batasan ialah:

(1) Menutupi aurat.
(2) Menjaga syaksiah dan adab Muslimah.
(3) Tidak berdua-duaan sehingga berlaku khalwat dan fitnah.
(4) Tidak melakukan kerja yang haram.
(5) Mendapatkan izin dari ayah bagi yang bujang, dan suami bagi yang telah berkahwin.

Ia juga sama peranan wanita dalam jihad dan sektor politik. Peranan wanita tidak dinafikan malah amat ditagih dalam kerjasama memenangkan agama Islam.

Di zaman Rasulullah S.A.W lagi, peranan wanita sudah ada di medan jihad. Seperti Rubai’ binti Muawwiz berkata:

كنا نغزو مع النبي فنسقي القوم ونخدمهم ونرد الجرحى

“Kami bersama-sama dengan Nabi S.A.W dalam peperangan, kami memberikan minum kepada kaum (tentera Islam) dan mengubati tentera yang luka.”

(Riwayat al-Bukhari)

Begitu juga ucapan dari Ummu Atiyyah iaitu Nusaibah bin al-Harith (ada yang menyebutkan Nusaibah bin Ka’ab, beliau merupakan seorang wanita Ansar berkata:

غزوت مع النبي سبع غزوات أخلفهم في رحالهم فأصنع لهم الطعام، وأداوي الجرحى، وأقوم على المرضى

“Aku mengikuti peperangan bersama-sama dengan Nabi S.A.W sebanyak 7 peperangan. Aku berjalan di belakang mereka (tentera Islam), aku menyediakan makanan, mengubati luka-luka dan merawati pesakit (tentera Islam).”

(Riwayat Muslim)

Disediakan oleh:
USTAZ DR MUHAMAD ZUHAILI DR HJ SAIMAN
Pengerusi
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP),
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 10/3/2020