Malaysia perlu terajui pasaran global – Dr Khairudin

PUTRAJAYA : Menteri Perusahaan Perdagangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, selaras dengan fungsi dan peranan Kementeriannya, beliau dan dua Timbalan Menteri akan berusaha menjalankan amanah diberikan Kabinet kepadanya.

Advertisement

Beliau bersama Dato’ Sri Dr Wee Jeck Seng dan Willie Anak Mongin akan berusaha menjaga amanah yang diberikan dengan komited dan berintegriti.

Beliau juga percaya terhadap keupayaan dan kemahiran pegawai-pegawai kementerian untuk membantu beliau dalam merealisasikan visi kementerian ini dalam menjadikan Malaysia sebagai peneraju pasaran global bagi industri utama melalui kemajuan industri secara mampan untuk kesejahteraan negara.

Beliau berkata, dalam mencapai hasrat berkenaan, pihak kementerian akan memperkasakan amalan urus tadbir yang baik (good governance) dengan penekanan pada dua paksi utama iaitu integriti dan kualiti dengan menguruskan sumber awam secara berkesan.

“Saya juga akan berusaha menyediakan pasukan kerja yang mantap menggabungkan pelbagai kepakaran sama ada pada tenaga fikir kementerian, pengkaji dan penyelidik universiti mahupun juga pengalaman pemain industri bagi menghadapi pelbagai cabaran dalam sektor perladangan dan komoditi,” katanya.

Beliau juga mahu kementerian terus meneroka potensi pasaran baru yang masih belum dikuasai sepenuhnya di samping mengekal dan mengukuh pasaran sedia ada.

Menerusi gerak kerja yang baik dan cekap, menggunakan konsep memanfaatkan kepakaran dan pengalaman serta memperkasakan perbincangan dan rundingan.

“Saya yakin Kementerian ini akan terus menjadi antara agensi peneraju kepada pembangunan negara terutama ketika kerajaan berusaha gigih untuk memulihkan ekonomi negara dan sekaligus menjaga kesejahteraan serta kebajikan rakyat”, kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus. – HARAKAHDAILY 10/3/2020