PEKA harus syukur PM lantik PAS jaga alam sekitar

RAKYAT Kelantan melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah S.W.T atas perlantikan YB Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man yang merupakan Ahli Dewan Rakyat bagi Kubang Kerian bagi menerajui Kementerian Alam Sekitar dalam Kabinet Persekutuan yang diumumkan semalam.

Advertisement

Biarpun terdapat suara suara sumbang yang kononnya meragui dan menyatakan kebimbangan akan perlantikan tersebut, dan mereka turut mengulangi tuduhan liar bersifat stereotaip seperti “Tengok di Kelantan, teruk hutan sudah hancur dan komuniti Orang Asli merana”, namun mengapakah YAB Perdana Menteri sendiri telah memberi kepercayaan penuh kepada PAS untuk menguruskan alam sekitar?

Sejak tahun 2016 sehingga menjelangnya PRU14 tempohari, umum menyedari bagaimana peranan yang telah dimainkan oleh NGO PEKA di bawah kelolaan Sharifah Sabrina dan juga kumpulan Siti Kasim sendiri dalam kes-kes ‘blockade’ oleh NGO haram iaitu Jaringan di Pos Tohoi, Pos Gob dan beberapa jalan masuk ke Pos Orang Asli yang lainnya.

Bagi rakyat Kelantan, ianya sekadar mainan politik semata-mata. Ditambah pula apabila Lim Kit Siang sendiri turun beberapa kali ke Gua Musang bagi menghasut Orang Asli untuk menyokong Pakatan Harapan dan juga DAP seolah-olah menggalakkan pemberontakan ‘blockade’ apabila Kit Siang turun pula ke Kampung Parik dan Kampung Chawas pada 27 Febuari 2018.

Awal sebelum itu, pada 11 Disember 2016, Wong Tack juga dilihat turun ke Pos Bihai untuk memberi sokongan kepada kumpulan Jaringan yang juga membina ‘blockade’ di kampung tersebut. DAP memainkan peranan penting dalam cubaan mempamerkan imej buruk Kerajaan Negeri Kelantan. Wong Tack kini adalah Ahli Parlimen DAP bagi Bentong.

Peliknya adalah, mengapa hanya pada tahun 2016 sehingga April 2018 sahaja DAP dan PEKA kelihatan bersungguh sungguh ‘turun mempertahankan’ hutan dan alam sekitar bersama orang asli Kelantan? Mengapa selepas menang Putrajaya kalian tidak lagi rajin masuk ke belantara Gua Musang? Tidak lain tidak bukan, isu alam sekitar di Kelantan yang mereka laungkan hanyalah secebis daripada persepsi murahan sahaja.

Telah puluhan kali Jabatan Perhutanan Kelantan dan pimpinan Kerajaan Negeri sendiri menjawab tuduhan liar mereka dan juga memberi penerangan bagaimana Kelantan telah menguruskan alam semulajadi melalui kaedah terbaik, mengikuti SOP serta mematuhi semua syarat dan undang undang berkaitan, namun mereka tidak akan pernah puas menyerang Kelantan.

Sejak tahun 2016 lagi, Kelantan telah mengumumkan bahawa negeri ini telah mewartakan 973 hektar tanah sebagai rizab untuk Orang Asli serta 19,000 hektar lagi untuk kawasan rayau masyarakat itu. Namun serangan musuh tidak pernah surut.

Semua itu hanyalah satu catatan sejarah panjang perjuangan PAS mentadbir Kelantan. Ia juga sudah menjadi akademik semata mata. Kini cabaran besar tergalas di bahu Menteri Alam Sekitar. Masanya sudah tiba untuk membuktikan prestasi kerja dan khidmat kepada rakyat sesuai dengan kepercayaan dan amanah yang diberikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia.

Mungkin isu alam sekitar boleh dimulakan dengan hal kemusnahan alam akibat projek tambak laut di Pulau Pinang. Ia penting dan segera. Lagi pula kemarahan penduduk setempat dan aktivis alam sekitar yang ‘genuine’ sedang memuncak di sana.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Presiden Pertahan Kelantan – HARAKAHDAILY 10/3/2020