Semoga jawatan ini menambah taqwa – Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR: “Saya tidak menduga akan diamanahkan ke jawatan ini,” demikian kenyataan Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man setelah dilantik sebagai Menteri Alam Sekitar.

Advertisement

Beliau menyifatkan taklifan yang diberi untuk bersama-sama dalam barisan jemaah Menteri Kabinet sangat berat.

“Ia adalah taklifan yang berat. Suatu amanah Allah yang perlu dipikul. Saya sering memohon agar Allah tidak bebankan saya dengan suatu jawatan yang menyusahkan saya nanti di akhirat, dan mengharapkan pertolongan Allah dengan amanah ini.

“Semoga jawatan ini menambahkan taqwa sebagaimana seluruh alam, samada di langit atau di bumi sentiasa bertasbih kepada Penciptanya,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian turut memetik ayat Al-Quran yang berbunyi; ‘Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi sentiasa mengucap tasbih kepada Allah; bagiNyalah kuasa pemerintahan, dan bagiNyalah segala pujian; dan Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu’.

Dalam masa yang sama, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua sahabat yang merakamkan penghargaan dan doa, Semoga Allah membalas kebaikan anda semua. – HARAKAHDAILY 10/3/2020