Tahniah barisan kepimpinan baharu negara

ALHAMDULILLAH, pujian dan syukur kepada Ilahi di atas pengumuman senarai barisan jemaah Menteri yang berlangsung semalam. Semalam, hari yang sangat dinantikan setelah pelbagai polemik politik berlaku di tanah air tercinta, maka terbentuknya kepimpinan yang baharu. Firman Allah S.W.T:

Advertisement

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّـهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).”

(Al-Anfal: 27)

Jawatan yang diberikan bukan untuk dijadikan kemegahan tetapi perlu dipegang dengan sepenuhnya amanah. Perlu telus dalam melaksanakan urusan. Di zaman ‘dunia di hujung jari’ ini cabaran sebagai seorang pemimpin amatlah berat. Fitnah tersebar menimbusi kebenaran. Itulah hakikat yang perlu dihadapi.

Sebagai pemimpin juga perlunya bersikap terbuka dalam menerima kritikan dan melakukan muhasabah. Sekiranya ditegur kesilapan dan ia benar maka hendaklah diperbaiki pekerjaan dengan lebih baik.

Rakyat semakin celik politik dan rakyat juga semakin berani membuat perubahan. Oleh itu, hendaklah kepimpinan yang dilantik rapatkan saf, berganding bahu, bekerja keras demi memperjuangkan agama, bangsa dan negara.

Saya menzahirkan rasa sebak, apabila melihat suri teladan yang ditunjukkan oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang (Presiden PAS). Tidaklah beliau berebut mengejar kuasa, seperti yang difikirkan oleh yang tidak mengenali sosok hebat ini. Di kala dicerca dan dihina lawan beliau tetap gagah menyampaikan Kuliah Dhuha di kampung halamannya. Tidak kira penat dan sakit itu rutin wajibnya. Di saat berpeluang memegang kuasa berjawatan tinggi dihampar luas, beliau mengatakan “Kalau saya tak dipilih pun tak apa. Saya balik jadi nelayan pun tak apa. tak jadi masalah. Saya nak bekerja untuk negara. Yang mencalonkan saya itu, rakyat. Ada orang syok kalau orang mencalonkan dia, saya tak syok orang mencalonkan saya.”

Akhir kata saya ingin mengajak kita semua untuk sama-sama menekuni firman Allah S.W.T:

إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ

“Sesungguhnya sebaik-baik orang yang diambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah.”

(al-Qasas: 26)

“Islam Memimpin Perpaduan”
“Damak Maju Berkat”

YB USTAZ ZURIDAN MOHD DAUD
ADUN Damak
Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Pahang – HARAKAHDAILY 10/3/2020