TG Abdul Hadi pelita ummah dan negara

NARATIF indah perpaduan dan keharmonian merupakan kunci utama pasca kejatuhan Kerajaan PH. Tuan Guru memulakan naratif luar biasa yang janggal dilakukan figura politik lain. Menghargai jasa dan usaha pimpinan terdahulu dengan kata hikmah ‘Tun disanjung negara diselamatkan’ menjadikan hiruk-pikuk politik bertukar damai. Tiada dendam, tiada ungkitan, tiada permusuhan, jauh dari sifat menuding jari pihak lawan ianya sungguh luar biasa.

Advertisement

Di saat kekalutan kemelut berlaku. Butiran mutiara hikmahnya hadir seawal saat pertama sidang media di Pejabat PAS dengan teras dan isi terpuji dilantunkan ‘tanpa sebarang syarat dan permintaan’. Dengan penegasan beberapa ciri penting berkisar:

(1) Integriti.
(2) Kompetensi.
(3) Masyarakat majmuk.
(4) Teknokrat.

Saranan dan pandangan itu meletakkan PAS di galaksi tersendiri dengan terzahir keikhlasan demi membina Malaysia Sejahtera.

Itulah moment awal PAS zahirkan semata demi membantu sedaya mungkin dalam pentadbiran kerajaan. Tanpa perlu mengampu dan melobi ianya beri leluasa tenang buat Perdana Menteri untuk menentukan Kabinet pilihan. Lantas itu, Minda Presiden terus ligat memberi suluhan pelita mujarab buat bekal pembentukan Kabinet dengan kompas dan kiblat yang tersusun rapi dengan simpulan kemas wahyu dan sirah.

Arahan kepada seluruh ahli PAS agar tidak merayakan kemenangan dengan melampau dan berlebihan serta tidak memerli rakan dan lawan menggambarkan PAS benar-benar punyai aura perpaduan tinggi terhadap negara. Ianya disambut ‘taat dan patuh’ seluruh lapisan ahli dan masyarakat.

Jawapan ringkas Tuan Guru ketika ditanya wartawan mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri, “Saya balik jadi nelayan pun tak apa. Tak jadi masalah. Saya nak bekerja untuk negara”. Jawapan yang tulus yang menjelmakan wawasan besar Tuan Guru terhadap negara. Ianya seakan mengetuk pintu hati dan menghadirkan keinsafan buat yang mengerti betapa perjuangan bukan semata dengan kedudukan. Namun berbakti, berjuang, dan berkorbanlah dalam apa jua situasi demi keizzahan Islam. Jawatan dan kedudukan bukan agenda utama.

Demokrasi bukan hanya satu pintu merupakan minda terakhir Tuan Guru sebelum pembentukan Kabinet. Ianya merungkaikan salah faham ummah terhadap demokrasi. Ketegasan Tuan Guru dalam menjernihkan salah faham ini terhadap kefahaman demokrasi ala Barat dengan suluhan wahyu Ilahi membuatkan hati dan minda terpesona.

Pengkisahan PAS yang berpengalaman memilih pintu-pintu demokrasi ‘Muwajahah Silmiah’ walaupun jalannya sukar dan memakan masa yang panjang. PAS matang bergelumang dengan karenah genting dan sukar demi bangkit menjadi obor buat ummah.
PAS ingin rakyat saksikan betapa PAS sebenarnya ada pengaruh mengerahkan rakyat. Berbeza dengan pihak lain yang sebenarnya tidak mampu mengerahkan rakyat seperti PAS. Bahkan jentera pilihan raya dan duit PAS digunakan untuk kepentingan mereka.

Ada yang bergolok bergadai demi sebuah perjuangan murni PAS. Pengorbanan dan jihad ahli PAS memang tidak mampu ditiru oleh mana-mana anggota parti lain.

PAS bersedia menjadi laksana lilin, membakar dirinya demi agama, rakyat dan negara yang diutamakan, bukan seperti mereka yang slogannya sahaja bersih tetapi niatnya tidak. Itulah suluhan pelita ummah dari Tuan Guru dalam kemelut politik tanah air.

Hari ini, rakyat menyaksikan. Perubahan ketara dalam pembentukan Kabinet Kerajaan. Integriti, teknokrat, majmuk, kepakaran yang menjadi suluhan pelita dari pelita ummah sekian lama. Sebahagian pimpinan PAS menduduki Kabinet Kerajaan dengan harapan mampu memberi impak positif terhadap pentadbiran negara.

Bersyukur kepada Allah S.W.T kerana agama, rakyat dan negara dapat diselamatkan dengan cara aman melalui panduan, bimbingan dan asuhan pelita ummah. Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.

Tuan Guru, kini dirimu menyaksikan anak didikanmu berada dikemudi pentadbiran.
Air mataku menitis, betapa besarnya perjuanganmu. Sanggup dihina, dikeji, disumpah demi Islam.

Ya Allah, Ya Tuhanku…
Panjangkan umurnya untuk terus jadi pelita buat ummah.

“Malaysia Sejahtera”
“Islam Memimpin Perpaduan”
“Pelita Ummah Tuan Guru”

JAMAL NAJMUDDIN SULAIMAN
Timbalan Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan – HARAKAHDAILY 10/3/2020