500 kilo ikan temenung habis diagih ADUN Penaga

KEPALA BATAS: ADUN Penaga, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah telah mengadakan program edaran percuma 500 kilogram ikan kembung kepada para penduduk setempat di pekarangan Pusat Khidmat ADUN Penaga, di sini semalam.

Advertisement

Inisiatif dengan kerjasama Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Negeri Pulau Pinang ini turut dijayakan oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan Kepala Batas dan Muslimat DUN Penaga sekali gus menyatuni warga setempat.

Program julung kali ini sebagai menyemarakkan sedekah dan sumbangan serta mengerat hubungan dengan masyarakat setempat, juga sebagai membantu golongan nelayan di Kuala Muda ini khususnya.

Kebelakangan ini berlakunya fenomena lambakan ikan kembung yang lebih dikenali penduduk di Utara Semenanjung dengan panggilan ikan temenung, sedang harganya jatuh hingga ke paras RM1.50 sekilogram.

Walaupun hal tersebut memberi peluang kepada penduduk termasuk mereka yang dari luar mendapatkan ikan ini dengan harga murah, tetapi ia belum cukup membantu meningkatkan pendapatan para nelayan di sini.

Oleh itu, dalam menjamin ikan tersebut habis dan nelayan mendapat pendapatannya, Ustaz Yusni mengambil inisiatif tersebut yang janjinya akan diusaha untuk diadakan lebih kerap. – HARAKAHDAILY 11/3/2020