DJZ mahu laporan UEC dibentang kepada Kabinet?

MACAM mana Dong Zong tahu laporan telah siap? Pelik bin ajaib. Hairan, bagaimana Dong Zong tahu laporan tersebut telah siap jika tidak ada orang membocorkan rahsianya? Siapa yang membocorkan rahsianya? Pasukan ini perlu bertanggungjawab atas semua maklumat yang dibocorkan.

Untuk makluman, Pasukan Petugas Dasar UEC (PPDUEC) dibentuk oleh Maszlee Malik, selaku Menteri Pendidikan ketika itu, yang terdiri daripada Eddin Khoo Bu Eng (selaku Pengerusi), Mohamad Raimi Ab Rahim (ABIM) dan Tan Yew Sing (Timbalan Presiden Dong Zong).

Sejak daripada awal lagi, apabila saya, salah seorang panel, yang dipilih untuk ditemu duga, saya dengan tegas mengatakan bahawa pasukan yang ditubuhkan oleh KPM ketika itu, adakah bias dan berat sebelah.

Advertisement

Bagaimana mungkin, PPDUEC dibentukkan dengan memasukkan orang yang mempunyai kepentingan iaitu wakil Dong Zong. Ini satu kesilapan besar. Melantik orang berada dalam PPDUEC yang tidak sepatutnya dia berada di situ kerana dia (Dong Zong) ada kepentingan.

Segala perbincangan semuanya diketahui oleh wakil Dong Zong, sebab dia dalam PPDUEC. Sebab itu tidak peliknya apabila Dong Zong mengeluarkan kenyataan semalam bahawa laporan tersebut telah siap. Siapa pengkhianat yang membocorkan rahsianya?

Ketika townhall PPDUEC, yang dibuat di hadapan kami, selepas berakhirnya sesi temu duga, saya (kami) telah mengingatkan PPDUEC, bahawa laporan akhir mesti dibentangkan di hadapan kami sebelum diserahkan kepada Kabinet.

Malangnya, laporan akhir tidak dibentangkan sekali lagi untuk diteliti. Mereka mahu terus membawa kepada Kabinet.

Saya ingin mengatakan bahawa jika laporan tersebut dibentang kepada Kabinet, itu bukan laporan terakhir yang kami persetujui. Itu adalah ciptaan dan rekaan PPDUEC tersebut, yang mana ahli pasukan ada kepentingan.

Pada saya, laporan tersebut tidak wajar dibentangkan dan seharusnya dibakul sampahkan. Sayugia diingatkan bahawa Dong Zong menyasarkan untuk mengutip dana sebanyak RM30 juta bagi pembinaan bangunan pendidikan komprehensif Cina, bagi memperkukuhkan lagi semua sekolah Cina, termasuk persendirian Cina yang tidak diiktiraf.

Dong Zong setakat ini telah berjaya mengumpul lebih RM15 juta bagi tujuan tersebut. Dana ini berjaya dikumpulkan melalui kutipan derma melalui pengedaran kad sumbangan ke sekolah-sekolah dalam negara yang membabitkan 1,298 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Ia termasuk 63 buah Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), 81 buah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) – menjadikan jumlah sekolah terlibat sebanyak 1441 buah.

Tidak mustahil selepas dikumpulkan semua dana melalui sumbangan derma ini, lebih daripada RM30 juta dapat dikutip. Bangunan mereka akan berdiri megah seperti bangunan Hua Zong, Serdang, tepi lebuh raya Serdang.

Lihatlah betapa hebatnya Ultra Kiasu ini bersatu hati dalam memastikan pendidikan haram ini dapat dihalalkan. Kita sebagai umat Islam sahaja yang bodoh, terus berpecah. Ultra Kiasu dapat segala-galanya, kita dapat apa? Melopong…

PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH – HARAKAHDAILY 11/3/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.