Isu akidah dalam perhimpunan Hari Wanita

DALAM keghairahan memperjuangkan hak wanita, ada aktivis yang diberikan ruang untuk menyampaikan persembahan puisi yang dibimbangi melibatkan isu akidah buat umat Islam. Persembahan berjudul ‘dear god’ menampilkan bait-bait puisi yang mengimpikan atau membayangkan sekiranya Tuhan itu adalah seorang wanita (Dear God, if you were a women…).

Buat Muslim, Rasulullah S.A.W menasihatkan kita agar sentiasa berhati-hati dalam melontarkan dan memilih kata-kata yang dibimbangi boleh memberikan kesan kepada isu akidah dalam keadaan mereka tidak sedar. Sabda Rasulullah S.A.W:

Advertisement

إِنَّ الرَّجُلَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ لَا يَرَى بِهَا بَأْسًا يَهْوِي بِهَا سَبْعِينَ خَرِيفًا فِي النَّارِا

“Seorang lelaki mengucapkan satu kalimah yang dia tidak merasakan apa-apa masalah dengannya (memandang remeh dengan kalimah tersebut), yang mana ianya boleh membawanya kepada tujuh puluh jarak neraka.”

(HR al-Tirmizi)

Dalam menghuraikan hadith ini, al-Imam al-Mubarakfuri menjelaskan bahawa terdapat sebahagian manusia yang memandang remeh perkataan yang diucapkannya sehingga dia tidak menyangka perkataan tersebut menjadi penyebab kepada dia dihumban ke neraka.

(Tuhfah al-Ahwazi)

Al-Imam Ali al-Qari pula meriwayatkan hadith berhubung kecaman Rasulullah S.A.W terhadap mereka yang bercakap bagi tujuan bergurau tanpa menilai dahulu kesan ucapan tersebut barangkali tidak sesuai untuk dijadikan bahan gurauan. Sabda Rasulullah S.A.W:

إِنَّ الْعَبْدَ لَيَقُولُ الْكَلِمَةَ لَا يَقُولُهَا إِلَّا لِيُضْحِكَ بِهِ النَّاسَ، يَهْوِي بِهَا أَبْعَدَ مَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ،

“Seorang hamba mengucapkan perkataan bagi tujuan bergurau (untuk digelak) sedangkan perkataan tersebut boleh membawanya ke neraka yang jarak keduanya antara langit dan bumi.”

(Mirqa al-Mafatih)

Perbahasan berkenaan zat tuhan pula telah dijelaskan oleh Allah di dalam al-Quran bahawa tuhan itu adalah satu dan ia bukannya seperti makhluk yang mempunyai jantina atau mempunyai keluarga. Perkara ini sering kita lafazkan dalam surah al-Ikhlas yang terangkum di dalamnya sifat mengenai Allah.

Amat membimbangkan sekiranya Muslim berfikir dengan kerangka pemikiran Liberal sehingga akal mereka liar menerawang tanpa menjadikan al-Quran dan hadith sebagai panduan hidup mereka.

Akidah dan moral saling berkait

Seringkali kita mendengar kenyataan yang memisahkan antara akidah dan moral dalam sesuatu isu yang melibatkan Undang-undang Syarak. Sebagai contoh kata mereka “biar aku tak pakai tudung, yang penting hati baik.”

Dalam al-Quran, Allah memberikan contoh bahawa akidah, syariah dan moral adalah entiti yang tidak boleh dipisahkan. Sebagai contoh, ketika memberikan contoh wanita yang solehah dan wanita yang kufur, al-Quran menampilkan watak isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut sebagai contoh mereka yang kufur, manakala isteri Firaun dan Maryam pula diberikan status sebagai wanita yang akan ke Syurga. (Surah Tahrim)

Dalam hal ini, isteri Firaun adalah contoh wanita yang terbaik dalam isu akidah. Sekalipun berada di dalam rumah musuh akidah yang paling dahsyat (Firaun yang mengaku dirinya tuhan), isteri Firaun tetap utuh dengan keimanannya yang tidak tergoyah. Sebaik sahaja menceritakan mengenai isteri Firaun, Allah menampilkan pula karakter Maryam, wanita tauladan terbaik dalam isu moral, yang menjaga maruah dirinya sekalipun difitnah.

Kesatuan dua kisah ini dalam satu contoh seolah menggambarkan bahawa sifat wanita yang paling sempurna adalah yang menjaga akidah dirinya, patuh pada syarak serta menjaga moral perlakuannya juga. Dalam perkara ini, isteri Firaun dan Maryam adalah contoh yang terbaik.

Manakala apabila menggambarkan contoh wanita yang kufur pula, Allah Taala menampilkan watak isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut. Nabi Nuh menghadapi cabaran yang sangat besar dalam menangani isu akidah di zaman Baginda, manakala Nabi Lut pula bergelut dalam menyelesaikan isu moral luar biasa. Kedua-dua kisah ini adalah representasi kepada dua perkara utama iaitu akidah dan juga moral.

Dengan penampilan contoh-contoh ini, ia memberikan kita gambaran bahawa kesempurnaan seorang Muslim adalah terkait dengan perkara akidah, syariah dan moral ini. Mempunyai akidah yang sempurna, seorang wanita Muslimah akan menuruti Syariah serta menghiasi diri dengan akhlak yang baik. Dengan itu adalah tidak benar sekiranya dikatakan: “biarlah aku tak pakai tudung, asalkan hati bersih.” Hati bersih itu sudah baik, hati yang bersih juga akan memandu kepada kepatuhan kepada syarak.

Untuk menjadi warganegara yang baik, tidak memadai dengan hati yang baik sahaja. Apa guna sekiranya hati baik, tetapi melanggar undang-undang lampu isyarat jalan raya? Begitu juga Muslim yang baik, tidak memadai dengan hati sahaja, tetapi hendaklah dia mematuhi Undang-undang Syariah.

Semoga Allah membimbing kita.

DR. AHMAD SANUSI AZMI – HARAKAHDAILY 11/3/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.