Jangan derhaka kepada YDPA

JELAS mengikut Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) boleh bertindak mengikut budi bicara baginda untuk melantik seorang Perdana Menteri, manakala bagi Perkaa 40(2)(b) YDPA mempunyai kuasa untuk tidak memperkenankan permintaan untuk membubarkan Parlimen.

Advertisement

Tindakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 bukanlah sesuatu yang dilakukan tanpa timbang tara yang sebaiknya.

Malah, YDPA turut menggunakan kuasanya untuk memanggil Majlis Raja-Raja bersidang sebelum membuat keputusan itu mengikut Perkara 40(2)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Jelas, keputusan YDPA itu dibuat dengan penelitian dari aspek prosesnya mengikut undang-undang yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai warganegara Malaysia yang antara prinsip dan rukunnya berpegang kepada kesetian kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, dan Kedaulatan Undan-undang, perkara ini sudah tidak harus diperjelaskan seolah-olah Rukun Negara itu baru wujud semalam.

Bagaimanapun, banyak individu yang boleh dikatakan sudah veteran masih lagi berdegil dan tidak berpuas hati dengan pelantikan itu yang sudah cukup seminggu pun ia berlalu.

Perkara ini harus diambil serius, puak-puak PH yang jatuh tertiarap Febuari lalu kini giat menghebohkan sana-sini dengan jelajah-jelajah mereka berkenaan bilangan majoriti yang mereka kuasai. Entah betul atau tidak apa yang dihebahkan itu.

Apa yang ganjil disini adalah ada diantara mereka yang mendakwa sudah memiliki majoriti sebanyak 114 kerusi Parlimen, namun dalam masa sama dan majlis sama, ada juga yang tersasul mengatakan mereka belum cukup ‘solid‘ 112 kerusi untuk menjadi majoriti dalam Dewan Rakyat.

Rakyat Malaysia mungkin sudah kenal wajah disebalik PH yang sebelum ini menguasi kerajaan dengan penipuan, namun apa yang membimbangkan adalah pihak-pihak yang tidak mengenali PH lansung dan hanya menilai dari luaran.

Penilaian luaran untuk penipu semestinya ‘good impression’ memandangkan penipu sudah tentunya bijak berkata-kata, bijak bermuka-muka, pandai berlakon dan sebagainya.

Begitulah apa yang terjadi sekarang ini apabila Institusi Diraja seolah-olah tercalit arang akibat dari tindakan PH ketika ini yang tidak sudah mengetuk tin kosong berkenaan perolehan kerusi yang sentiasa menjadi tanda tanya.

Pihak yang tidak mengenal PH mengambil lakonan-lakonan dan tipu daya itu untuk dibuat rujukan tanpa penilaian yang lebih teliti berkenaan Perlembagaan Persekutuan dan fungsi YDPA.

Maka, disebabkan itu keluarlah satu artikel ‘The Guardin view on a royal coup:A King Overturns a Historic Election’ yang diterbitkan akhbar harian Britain, The Guardian yang berpengkalan di UK.

Memandangkan The Guardian merupakan satu akhbar yang menjadi rujukan antarabangsa, pandangan tersebut secara lansung meninggalkan persepsi yang sama kepada pembaca-pembaca dan portal berita lain terhadap institusi Diraja Melayu.

Tulisan tersebut setelah diterjemah menggambarkan bahawa sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia dinafikan oleh pihak istana dan terdapat campur tangan pihak istana yang nekad untuk tetap melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin walaupun tidak mempunyai majoriti.

Padahal, ia tidak berlaku sebegitu di Malaysia, rakyat melihat sendiri bahawasanya segala proses-proses pelantikan, keputusan yang dibuat YDPA mengikut sepenuhnya undang-undang yang ditetapkan.

Bahkan, sehingga saat ini pihak istana juga terpaksa membuat penjelasan berhubung perkara tersebut dan masih tiada permohonan maaf dari portal berita antarabangsa itu.Sedangkan, semakin hari, semakin ramai artikel tersebut dikongsi diseluruh dunia.

Lihatlah betapa besarnya impak sekiranya Malaysia terus membiarkan penipu-penipu ini berkuasa, mereka menyebarkan fitnah-fitnah untuk kepentingan diri tanpa memikirkan nasib generasi akan datang.

Siapakah yang akan bertanggungjawab sekiranya Malaysia terus-menerus diburukkan di mata dunia, dan bagaimana rakyat Malaysia akan menanggung malu akibat dari perbuatan mereka yang tidak bermaruah?

Institusi Diraja dan Perlembagaan Persekutuan yang selama ini memayungi Malaysia mungkin suatu hari nanti akan dilenyapkan sekiranya perkara sebegini tidak dibendung dari waktu ini. – HARAKAHDAILY 11/3/2020